Sunday, July 29, 2007


KEWAJIPAN BERDAKWAH


1.0 PENGENALAN

Kesyumulan dakwah memanifestasikan kecemerlangan ummah menjadi paksi utama pendakwah merealisasikannya dalam segenap dimensi perjalanan dakwahnya. Kesyumulan dakwah perlu ditinjau daripada sudut pendakwah itu sendiri, sasaran dakwah, metodologi atau dakwah yang jitu dan Islam menjadi topik atau teras kepada dakwah itu sendiri. Dengan kata lain, Islam adalah asas atau dasar pertama dalam dakwah.
Dakwah yang dimaksudkan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan ( 2000: 5 ) dalam kitab Usul al-Dakwah ialah seru kepada Allah SWT. Di mana Allah SWT berfirman:

Maksudnya: " Katakanlah: Inilah jalanku, aku menyeru kepada agama Allah SWT atas bukti yang nyata. Aku dan orang yang mengikutiku; Maha Suci Allah, dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain " ( Yusuf 12: 108 ).

Menurut beliau, yang dimaksudkan seruan kepada Allah SWT ialah seruan kepada agamaNya iaitu agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Sesungguhnya agama ( yang benar dan diredhai ) disisi Allah SWT ialah Islam. Dan Orang-orang ( Yahudi dan Nasrani )yang diberikan Kitab itu tidak berselisih ( mengenai agama Islam dan enggan menerimanya ) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenaranNya, ( perselisihan itu pula ) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan ( ingatlah ), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah SWT, maka sesungguhnya Allah SWT amat segera hitungan hisabnya " ( Al Imran 3: 19 ).

Islam merujuk Kamus Pengetahuan Islam ( 1980: 142-143 ) bermaksud agama Allah SWT yang disyariatkanNya sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Muhammad saw menyuruh mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah SWT. Dasar-dasar agama tidak berubah pada setiap zaman. Menuntut kepada kepercayaan kepada Allah SWT, keimanan kepada para malaikat, dunia akhirat dan sebagainya. Perubahan hanya berlaku dalam perkara-perkara yang berhubung syariat. Syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah yang terakhir dan yang menasakhkan syariat agama yang terdahulu. Dan syariat ini akan berkekalan sehingga akhir zaman, kerana ia bersesuaian pada setiap masa dan di setiap tempat.

Maksudnya: " Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi " ( Alimran 3: 85).

Dakwah diperlukan sepanjang zaman dan setiap saat serta waktu. Tiada terhad dalam batas dan ruang lingkup yang sempit, malah usaha dakwah telah mengorak langkah hingga ke peringkat global sejak bermulanya zaman Nabi Muhammad saw. Pendakwah perlu berbekalkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia dalam melaksanakan dakwah bil al-hal, dakwah bil al-lisan dan sebagainya. Keutamaan penilaian pendakwah bukan sahaja pada kuantitinya, tetapi nilai kualiti pendakwah dan usaha dakwah itu lambang kesyumulan dakwah itu sendiri.

Nabi Muhammad saw diutuskan Allah SWT untuk menyampaikan dakwah Islamiah dengan pendekatan yang baik serta sempurna. Sepanjang hayat baginda dihabiskan dengan berdakwah kepada Allah SWT iaitu selepas kerasulan baginda. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: " Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi, dan pembawa berita gembira serta pemberi amaran kepada orang yang engkar. Dan juga sebagai penyeru manusia seluruhnya kepada agama Allah SWT dengan taufik yang diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi " ( al-Ahzab 33: 45-46 ).

Dengan firman Allah SWT ini, jelaslah bahawa Nabi Muhammad saw adalah pendakwah terulung dalam sejarah Islam. Baginda telah menjalankan dakwahnya dengan secara berkesan ke atas masyarakat ketika itu berlandaskan al-Quran dan sunnah baginda sendiri. Risalah baginda bersifat sejagat merangkumi seluruh umat manusia tidak terbatas kepada bangsa tertentu sahaja.

Kertas kerja ini cuba membincangkan mengenai kewajipan berdakwah berdasarkan ayat-ayat yang terdapat dalam al-Quran al-Karim. Perbicangannya berdasarkan kitab-kitab dakwah seperti al-Munthalaq karangan Muhammad Ahmad al-Rasyid, kitab al-Dakwah al-Islamiah karangan Dr. Ahmad Ahmad Ghalwasy, kitab Usul al-Dakwah oleh Dr. Abdul Karim Zaidan, kitab Tafsir al-Qurthubi, kitab Tafsir Fi Zilalil al-Quran, Tafsir Ibn Kathir dan lain-lain.


1.0 PENGERTIAN DAKWAH

Dakwah daripada segi bahasa bererti menuntut dan meminta. Manakala daripada segi analogi ia bermaksud seseorang Muslim yang berkepakaran dalam ilmu dan agama dengan mengajar kepada individu perkara-perkara agama, memotivasikan individu dengan perkara kebaikan, menyelamatkan mereka daripada keadaan yang buruk, memperingatkan mereka akan kejahatan atas sekadar kemampuan yang ada demi mencapai kejayaan bersama kebahagiaan pada masa kini dan masa akan datang ( Sholeh Ibn Abdullah Ibn Hamid 1999: 9 ).

Manakala Dr. Abdul Karim Zaidan ( 2000: 5 ) mendefinisikan dakwah sebagai seruan kepada Allah SWT iaitu seruan kepada agamaNya yang dibawa oleh Rasulullah saw daripada Allah SWT.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan daripada kedua-dua takrif ini, dakwah adalah satu usaha membawa manusia kepada jalan kebaikan iaitu menuju ajaran agama Allah SWT yang suci iaitu Islam. Ini dilakukan oleh pendakwah yang mempunyai ilmu kepakaran dalam dakwah dan dalam kadar kemampuannya.




2.0 KEDUDUKAN HUKUM DAKWAH

Merujuk petikan daripada Muhammad Ahmad al-Rasyid ( 2000: 89-91 ), kebanyakan manusia menyangkakan kenyataan para ulamak fuqaha bahawa dakwah hukumnya fardhu kifayah ke atas setiap muslim. Di mana apabila terdapat sebahagian umat Islam menjalankan dakwah, maka akan dikecualikan berdakwah bagi sebahagian yang lain. Namun demikian, kefahaman sedemikian terdapat perbincangannya.

Menurut Muhammad Ahmad al-Rasyid, dakwah kepada sesuatu kebaikan dan keteragongan dakwah ialah berdakwah kepada Allah SWT. Ia adalah fardhu ke atas setiap muslim dengan kadar kemampuan yang dimilikinya. Ini kerana dakwah adalah sebahagian daripada sifat orang Mukmin. Manakala hadis Rasulullah saw menyuruh setiap muslimin dan muslimah menghapuskan kemungkaran dengan kadar kemampuan mereka. Apabila tercapai maksud tersebut, maka tidak dituntut ke atas muslim lain untuk melaksanakannya. Dalam hal ini, setiap muslim perlu menyuruh kepada membuat kebaikan dan melarang daripada perkara kemungkaran tanpa menanti orang lain melakukannya. Sekiranya tiada sesiapa yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar, maka berdosa bagi setiap individu. Muslim menyeru atau berdakwah kepada jalan Allah SWT dengan beriman kepada Allah SWT dan rasulNya. Sepertimana firman Allah SWT:

Maksudnya: " Katakanlah: Inilah jalanku, aku menyeru kepada agama Allah atas bukti yang nyata. Aku dan orang yang mengikutiku; Maha Suci Allah, dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain " ( Yusuf 12: 108 ).
Setiap muslim juga tidak dikecualikan untuk berdakwah kepada Allah SWT. Namun, sekiranya tiada kemampuan untuk mengajak sasaran kepada jalan Allah SWT, maka muslim yang lain perlu mengambil usaha dakwah tersebut. Ganjaran kepada pendakwah tidak terlihat di awal usaha dakwahnya, tetapi sekiranya seseorang muslim meninggalkan dakwah kepada Allah SWT selamanya, secara berterusan dan sengaja, maka sebenarnya individu tersebut adalah tidak memahami firman Allah SWT:

Maksudnya: " Katakanlah: Inilah jalanku, aku menyeru kepada agama Allah atas bukti yang nyata. Aku dan orang yang mengikutiku; Maha Suci Allah, dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain " ( Yusuf 12: 108 ).

Menurut Muhammad Ahmad al-Rasyid lagi, dengan ini bermaksud fardhu kifayah ditujukan seluruh muslimin yang mengetahui akan kefardhuan ini. Manakala difardhukan kepada mereka yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Ini berdasarkan ayat al-Quran, firman Allah SWT:


Maksudnya: " Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan ( mengembangkan Islam ), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang dari segala perkara yang salah ( buruk dan keji ). Dan mereka yang bersifat demikian, ialah orang-orang yang berjaya " ( Al Imran 3: 104 ).

Maka setiap ummah iaitu jemaah perlu berdakwah kepada Allah SWT, bantu membantu dalan setiap perkara dalam mencapai maksud sesiapa yang mendirikan dakwah bererti ia telah mendirikan agama dan mengembangkan dakwahnya. Sekiranya setiap Muslim tidak melakukan sedemikian, maka berdosa keseluruhannya ( Muhammad Ahmad al-Rasyid 2000: 90 ).

Merujuk Ahmad Ahmad Ghalwasy ( th: 234 ) dalam kitabnya al-Dakwah al-Islamiah Usulaha wa Wasa'illaha, ayat ini menunjukkan kefardhuan berdakwah kepada kebaikan iaitu dakwah kepada Islam.

Dalam tafsir al-Maraghi meringkaskan bahawa menerusi ayat-ayat ini, mereka disuruh untuk membantu orang lain dalam anggota masyarakat dan menganjurkan mereka mematuhi perintah Allah SWT, menjauhi laranganNya bagi memastikan keterperiharaan hukum-hukum syariat dan ketetapannya. Dengan itu membolehkan setiap jiwa individu mencintai kebaikan dan tertarik untuk melakukan pembaikan bersama dan menjaga maslahat dirinya sendiri. Pendakwah-pendakwah perlu memenuhi syarat-syarat agar mencapai matlamat dengan baik dan menjadi contoh teladan dalam aspek ilmu dan praktiknya. Mereka perlu pertamanya memahami isi kandungan al-Quran, hadis Rasulullah saw dan contoh teladan daripada Rasulullah saw serta para khulafa' al-Rasyidin. Keduanya, pendakwah perlu peka dengan keadaan masyarakat yang menjadi sasaran dakwah daripada dimensi selok belok masalah, tabiat, akhlak dan pergaualan mereka dengan masyarakat. Ketiganya, mereka perlu menguasai bahasa masyarakat sasaran dakwah. Ini kerana Rasulullah saw pernah menyuruh beberapa orang sahabat mempelajari Bahasa Ibrani bagi memudahkan pergaulan dengan bangsa Yahudi yang menjadi jiran baginda dan mengetahui keadaan mereka yang sebenar. Keempatnya, pendakwah perlu mengetahui agama dan tradisi serta pelbagai aliran fahaman di kalangan masyarakat bagi memudahkan diri pendakwah mengetahui perkara yang batil dan perkara yang hak atau benar. Ini jelas membuktikan bahawa pendakwah tidak mampu menjalankan usaha dakwah melainkan golongan tertentu yang benar-benar memahami rahsi hokum Islam, hikmah tasyri' dan pengertiannya amat mendalam ( al-Maraghi 1974: 21-23 ).


3.0 KEWAJIPAN BERDAKWAH

Al-Quran banyak menyentuh mengenai kewajipan berdakwah kepada Allah SWT. Antaranya, Ahmad Ahmad Ghalwasy ( th: 234 ) menyatakan antara ayat-ayat al-Quran berkaitan suruhan berdakwah ialah:



Maksudnya: " Serulah ke jalan Tuhanmu ( wahai Muhammad ) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka ( yang engkau serukan itu ) dengan cara yang lebih baik " ( al-Nahl 14: 125 )

Menurut Muhammad Ahmad al-Rasyid ( 2000: 83 ) seperti mana yang disebutkan oleh Nabi Muhammad saw, firman Allah SWT:

وادع إلى ربك و لا تكونن من المشركين

Maksudnya: " Dan serulah manusia kepada agama TuhanMu dan janganlah engkau menjadi seperti kaum musyrikin " ( al-Qasas 20: 87 ).

Ayat ini merujuk Majmuk Fatawa Ibn Taimiah menjelaskan termasuk seluruh Muslim keseluruhannya dalam berdakwah, kerana asal yang dinyatakan oleh Allah SWT kepada rasulNya termasuk umatnya tanpa pengecualian seorang pun. Allah SWT memberkati umat yang menjalankan dakwah. Ini bermakna sesungguhnya Allah SWT memuliakan umat Islam yang berganding bahu bersama rasulNya dalam menjalankan usaha dakwah kepadaNya. Manakala, terdapat juga ayat-ayat al-Quran berkaitan tuntutan ke atas umat Islam dan kewajipan menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada kemungkaran. Seperti firrman Allah SWT:

Maksudnya: " Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah SWT; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" ( al-Taubah 9: 71 ).

Menurut al-Qurtubi ( 2001: 47 ), Allah SWT telah menjadikan suruhan mengerjakan perkara-perkara makruf dan meninggalkan segala kemungkaran berbeza antara orang-orang Mukmin dan orang-orang munafik. Ini menunjukkan khusus kepada orang-orang Mukmin dalam menyuruh kepada kebaikan dan menjauhi segala laranganNya dengan cara berdakwah kepada Islam.

Imam Ghazali ( 1998: 426 ) dalam kitab Ihya Ulumuddin menolak ayat di atas dengan hujjah-hujjahnya. Beliau menyatakan, firman Allah SWT;

Maksudnya: " Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Diantaranya ada golongan yang ( telah memeluk Islam dan) tetap ( berpegang kepada agama Allah SWT yang benar ), mereka membaca ayat-ayat Allah SWT ( Al-Quran ) pada waktu malam, semasa mereka sujud ( mengerjakan sembahyang ).Mereka beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah ( buruk dan keji ), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya ) adalah dari golongan orang-orang yang salah " ( Al Imran 3: 113-114 ).

Imam Ghazali ( 1998: 426 ), menyatakan ayat di atas bermaksud Allah SWT tidak mengakui mereka termasuk golongan orang-orang soleh dengan hanya beriman kepada Allah SWT, beriman kepada hari akhirat, tetapi Allah SWT tambahkan ke atas mereka suruhan membuat kebaikan dan meninggalkan larangan Allah SWT melalui firman Allah SWT:

Maksudnya: " Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah SWT; sesungguhnya Allah Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana " ( al-Taubah 9: 71 ).

Namun yang demikian, menurut Imam Ghazali ( 1998: 426 ) lagi, Allah SWT menganjurkan kepada orang-orang Mukmin melakukan kebaikan dan melarang daripada segala kemungkaran. Sesiapa yang meninggalkannya, maka terkeluar daripada sifat mukmin seperti yang dikehendaki dalam ayat tersebut. Firman Allah SWT:


Maksudnya: " Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat ( di dalam Zabur dan Injil ) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh. Mereka tidak saling melarang satu sama lain terhadap kemungkaran yang telah mereka lakukan. Sesungguhnya amat buruk segala perbuatan yang mereka lakukan " ( al-Maidah 5: 78-79 ).

Ayat ini mengandungi ketegasan kerana penerangan mereka berhak mendapat kutukan dengan sebab meninggalkan amar makruf nahi mungkar ( Imam Ghazali 1998: 426 ).

Ibn Kathir ( 1993: 78 ), mentafsirkan bahawa Allah SWT memberitahu bahawa Dia telah melaknat orang-orang kafir daripada kalangan Bani Israil dalam waktu yang sangat lama, iaitu melalui wahyuNya yang diturunkan kepada Nabi Daud a.s dan atas lisan Isa a.s putera Maryam a.s, disebabkan kederhakaan mereka kepada Allah SWT dan permusuhan yang mereka lakukan terhadap makhlukNya. Al-'Aufi mengatakan daripada Ibnu Abbas: " Mereka dilaknat dalam Kitab Taurat, Injil, Zabur serta dalam al-Quran. Kemudian Allah SWT menjelaskan keadaan mereka tentang kebiasaan mereka pada masa itu, di mana seseorang tidak melarang orang lain daripada melakukan dosa dan perbuatan yang diharamkan. Setelah itu, Allah SWT mencela mereka atas perbuatan itu. Lantaran itu, Allah SWT berfirman لبئس ما كانوا يفعلون bermakna " Sesungguhnya amat buruk apa yang selalu mereka lakukan itu ".

Manakala Sayyid Qutb ( 1987: 948-949 ) dalam Kitab Fi Zilalil Quran, mentafsirkan ini bukan semata-mata menyuruh dan melarang kemudian menyelesaikan masalah. Malahan kerosakan, maksiat dan pencabulan itu perlu ditentang dengan usaha gigih dan berterusan, melalui pemulauan serta pencegahan dengan menggunakan kekuatan. Penentangan kepada kemungkaran oleh Muslim perlu mempunyai keiamanan yang tulen terhadap Allah SWT dan seterusnya mampu dapat merealisasikan kehidupan yang terpancar daripada dasar aqidah tulen kerana masyarakat umat Islam mengambil undang-undang dan syariat Allah SWT dan berdiri atas sistem Allah SWT tersebut. Daripada itu, pengorbanan yang tinggi dapat membina masyarakat yang baik, masyarakat yang ditegakkan atas sistem Allah SWTdalam perlaksanaan amar makruf nahi mungkar. Oleh yang demikian, segala nas al-Quran dan Hadis yang mneyebut tentang amar makruf nahi mungkar adalah memperkatakan mengenai kewajipan seseorang Muslim berdakwah dalam masyarakat Islam.

Namun yang demikian, Imam Ghazali juga mendatangkan dalil-dalil berkaitan keutamaan amar makruf nahi mungkar. Firman Allah SWT:

Maksudnya: " Kamu ( Wahai umat Muhammad )adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah ( buruk dan keji ), serta kamu pula beriman kepada Allah ( dengan sebenar-benar iman ). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasara ) itu beriman ( sebagaimana yang semestinya ), tentulah ( iman ) itu menjadi baik bagi mereka. ( Tetapi ) diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan dari mereka orang-orang yang fasik " ( Al Imran 3: 110 ).

Pada firman Allah SWT menurut al-Qurtubi ( 2001: 117-119 ) terdapat tiga permasalahan:

Permasalahan pertama: Pada firman Allah SWT كنتم خير أمة أخرج للناس . Iaitu diriwayatkan oleh al-Tarmizi daripada Bahza Ibn Hakim daripada bapanya daripada datuknya, beliau telah mendengar daripada Rasulullah saw berkata pada firman Allah SWT كنتم خير أمة أخرج للناس. Baginda bersabda: " Kamu adalah 70 umat yang ada kebaikan padanya, dimuliakan di sisi Allah SWT. Ibn Abbas berkata: Mereka adalah umat yang berhijrah daripada Mekkah ke Madinah dan terlibat dalam Perang Badar dan Perjanjian Hidaibiyah. Omar al-Khatab berkata: Sesiapa yang berhijrah, maka samalah seperti hijrah daripada Mekkah ke Madinah. Mujahid berkata: kamu adalah umat yang baik sekiranya menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran.
Permasalahan kedua: Berkenaan hadis Imran Ibn Hussain, di mana Rasulullah saw bersabda mafhumnya yang menunjukkan umat yang terawal adalah lebih afdal daripada selepas zaman Rasulullah saw. Manakala Abu Umar Ibn Abdul Bir umat selepas zaman sahabat lebih afdal. Namun, Rasulullah saw menekankan manusia yang baik adalah yang dekat dengan baginda.

Permasalahan ketiga: pada firman Allah SWT تأمرون بالمعروف و تنهون عن المنكر. Umat ini dipuji kerana mendirikan amar makruf nahi mungkar. Sekiranya umat ini meninggalkan amar makruf nahi mungkar, maka akan terhapus kepujian tetapi akan mendapat kejian. Ini yang akan menyebabkan kebinasaan ke atas mereka.

Ayat ini juga menunjukkan keutamaan amar makruf nahi mungkar, kerana menerangkan kepada mereka bahawa mereka adalah umat terbaik untuk kepentingan manusia ( Imam Ghazali 1998: 426 ). Allah SWT berfirman:

Maksudnya: " Maka tatkala mereka melupakan apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang yang zalim dengan azab yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik " ( al-'Araf 7: 165 ).

Imam Ghazali ( 1998: 426 ) menjelaskan, sesungguhnya mereka akan mendapat faedah kejayaan dengan larangan ke atas perkara buruk dan ini menunjukkan suatu kewajipan juga. Firman Allah SWT:

Maksudnya: " Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan " ( al-Hajj 22: 41 ).

Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali ( 1998: 427 ) menyatakan ayat ini perihal disertakan bersama solat dan zakat pada menyifatkan orang-orang soleh dan orang-orang yang beriman. Firman Allah SWT:


Maksudnya: " Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajiakan dan bertaqwa, dan jangan kamu bertolog-tolongan pada melakukan dosa ( maksiat ) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT amat berat azab seksanya ( bagi sesiapa yang melanggar perintahNya) " ( al-Maidah 6: 2 ).

Imam Ghazali ( 1998: 427 ) menjelaskan ayat di atas adalah suruhan putus dan bermakna tolong menolong dan bergerak atasnya memudahkan menuju jalan kebaikan dan menyekat jalan-jalan kejahatan dan permusuhan sedaya upaya. Firman Allah SWT:




Maksudnya: " Alangkah baiknya kalau ketua-ketua agama dan pendeta-pendeta mereka melarang mereka darpada mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang telah mereka lakukan " ( al-Maidah 6: 63 ).


Maksudnya: " Maka sepatutnya ada di antara umat-umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi; tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa" ( al-Hud 12: 116 ).

Ayat di atas juga menjelaskan akan dibinasakan keseluruhan ummah kecuali mereka yang melarang daripada melakukan maksiat dan kerosakan ( Imam Ghazali 1998: 427 ). Firman Allah SWT:


Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu " ( al-Nisa' 4: 135 ).

Ayat ini menurut Imam al-Ghazali( 1998: 427 ), menjelaskan mengenai mengajak kepada kebaikan ke atas kedua ibu bapa dan saudara mara terdekat. Firman Allah SWT :


Maksudnya: " Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah SWT, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar " ( al-Nisa' 4: 114).


Maksudnya: "Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya " ( al-Hujarat 24: 9 ).

Ayat-ayat ini menunjukkan pendamaian adalah larangan daripada pemberotakan dan kembali kepada ketaatan, sekiranya ia tidak dilaksanakan maka Allah SWT akan memerintahkan supaya mereka diperangi ( Imam Ghazali 1998: 427 ). Maka Allah SWT berfirman:


Maksudnya: " Maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil ( menurut hukum AllahSWT ), " ( al-Hujarat 24: 9 ).

Manakala ayat ini merujuk kepada melarang daripada perkara-perkara kemungkaran ( Imam Ghazali 1998: 427 ).

Allah SWT mewajibkan ke atas para nabiNya untuk memberi peringatan dan berdakwah ke jalan Allah SWT. Dengan itu, dakwah kepada Allah SWT adalah diwajibkan ke atas setiap individuNYa, iaitu ummah yang berdakwah ke jalan Allah SWT. Kewajipan ini adalah ke atas seluruh ummah, seperti mana ulamak menyatakannya sebagai fardhu kifayah, iaitu sekiranya sekumpulan ummah mendirikannya, maka tergugur kewajipan ke atas orang lain. ( Muhammad Ahmad al-Rasyid 2000: 87 ).





5.0 PENUTUP

Allah SWT memErintahkan agar usaha dakwah dilakukan oleh pendakwah yang berilmu dan berakhlak agar diteladani serta mempunyai kriteria seorang pendakwah yang berdakwah secara berhikmah, memberi nasihat dengan cara yang baik, lemah lembut dan bermesej serta mengambil kira perihal rukun-rukun dakwah itu sendiri. Seterusnya berbahas dengan sasaran dakwah dengan pendekatan yang amat baik kesannya. Penulis lebih cenderung untuk bersandarkan bahawa hukum berdakwah adalah fardhu atas setiap muslim yang berakal, berilmu, baligh dan mempunyai kemampuan untuk meneruskan dakwah Rasulullah saw di zaman ini.

PENULIS POHON MAAF KERANA AYAT QURAN DALAM BAHASA ARAB TAK DISERTAKAN KERANA BLOG INI TIDAK DAPAT DETECT ( MENGESAN ) AYAT QURAN DALAM BAHASA ARAB. SILA RUJUK AL-QURAN AL-KARIM AYAT2 TERSEBUT













6.0 RUJUKAN

Al- Quran

Al-Quran dan terjemahan

Abdul Karim Zaidan. 2000. Usul al-Dawah. Beirut: Mu'asasah al-Risalah.

Abi Abdullah Muhammad Ibn Ahmad al-Ansari al-Qurtubi. 2001. Al-Jami' lil Ahkam al-Quran. Jil. 3. Beirut.: Dar Ihya al-Turas al-Arabi.

Afzalur Rahman. 1994. Indeks al-u. Kuala Lumpur. A.S Noordeen.

Ahmad Ahmad Ghalwasy. t.th. Al-Dakwah al-Islamiah Usulaha wa Wasaillaha. Al-Qahirah: Dar al-Kitab al-Misr.

Ahmad Mustafa al-Maraghi. 1974. Tafsir al-Maraghi. Jil. 4.

Al-Imam Abi Hamid Muhammad Ibn Muhammad al-Ghazali. 1998. Ihya Ulumiddin. Jil. 3. Al-Qahirah.: Dar al-Hadis.

Al-Imam al-Hafiz Imaduddin Abu al-Fida' Ismail Ibn Kathir. 1993. Tafsir al-Quran al-Azim. Jil. 2. Al-Qahirah.: Dar al-Hadis.

Haji Dusuki bin Haji Ahmad. 1980. Kamus pengetahuan Islam. Kuala Lumpur. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Muhammad Ahmad al-Rasyid. 2000. Al-Munthalaq. Beirut: Mu'asasah al-Risalah.

Sayyid Qutb. 1987. Fi Zilalil al-Quran. Jil. 2. Al-Qahirah.: Dar al-Syuruq.
Sholeh Ibn Abdullah Ibn Hamid. 1999. Ma'alim fi Manhaj al-Dakwah. Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra'.

No comments: