Friday, April 25, 2008

Kepentingan Syura Dalam Kehidupan - oleh Nur A'thiroh Masyaa'il Tan Ai Pao




Kepentingan Syura Dalam Kehidupan




1.0 PENGENALAN

Konsep syura ( musyawarah ) adalah di antara nilai-nilai kemanusiaan dan sosial
yang dibawa oleh Islam. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak akan bersendirian pada pendapatnya dan persoalan-persoalan yang memerlukan pendapat orang lain. Ini kerana pendapat dua orang atau lebih dalam sesebuah jemaah itu dianggap lebih mendekati kebenaran daripada pendapat perseorangan.

Dengan pengamalan konsep musyawarah oleh masyarakat dalam satu-satu urusan itu akan dapat mengungkai pintu kesulitan dan memberi ruang kepada sekelompok manusia untuk melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut, dan bersesuaian dengan perbezaan pemerhatian serta tingkat pengetahuan mereka. Oleh yang demikian, keputusan yang diperolehi adalah berdasarkan persepsi ( tassawur ) yang sempurna dan bedasarkan kajian ilmiah yang komprehensif.

2.0 DEFINISI “ SYURA ” DAN “ MASYARAKAT PROGRESIF ”

Merujuk Kamus Dewan ( 1997 ) , syura bermaksud mesyuarat untuk mencapai keputusan menurut suara terbanyak. Manakala masyarakat progresif bermakna kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu untuk menuju ke arah kebaikan atau kemajuan atau semakin meningkat sesuatu kehidupan itu.
Manakala pengertian syura merujuk Ensiklopedia Hukum Islam ( 1997 ), ialah musyawarah atau meminta pendapat orang lain tentang sesuatu masalah yang dipertanyakan.

3.0 DALIL-DALIL MENGENAI SYURA

Al-Quran merupakan Kalamullah yang berupa mukjizat yang diturunkan kepada penutup para Nabi dan Rasul ( Nabi Muhammad saw ) dengan perantaraan malaikat Jibril a.s yang ditulis dalam mashaf. Ia diriwayatkan kepada kita secara mutawatir dan membacanya dianggap sebagai ibadat. Ia dimulakan dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. ( Sheikh Muhammad Ali As-Shabuni 2002: 3 )

Segala perkara dalam kehidupan ini terkandung dalam al-Quran. Begitu juga dengan konsep syura banyak disebutkan Allah swt dalam al-Quran. Di antaranya ialah firman Allah swt :

...فاعف عنهم و استغفر لهم و شاورهم في الأمر...

Maksunya: “… Kerana itu maafkanlah mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu…” ( Ali Imran: 3: 159 )

Merujuk kepada al-Quran dan Terjemahnya ( 1971 ),dalam ayat ini yang dimaksudkan dengan bermusyawarah dalam segala urusan ialah urusan peperangan dan hal-hal duniawiyah lainnya. Yakni berkaitan dengan urusan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan sebagainya.

Allah swt juga menjelaskan tentang keutamaan syura ini dalam surah al-Syura ayat 38 dalam firmanNya seperti berikut;

و الديناستجابوالربهم و أقامواالصلاة و أمرهم شورى بينهم و مما رزقناهم ينفقون
Maksunya: “ Dan bagi orang-orang yang menerima ( mematuhi ) seruan Tuhannya dan mendiri solat, sedang urusan mereka ( diputskan ) dengan musyawarah antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. ” ( al-Syura: 42: 38 )

Dalam hadith-hadith Rasulullah saw juga banyak menyentuh mengenai konsep syura. Di antaranya ialah seperti mana sabda Rasulullah saw yang mafhumnya;

“ Bermusyawarahlah dengan kaum wanita ( isteri-isterimu ) dalam urusan anak-anaknya.” ( HR Ahmad )

Hadith ini menunjukkan galakan para wali wanita untuk bermusyawarah dengan ibu anak perempuan dalam masalah perkahwinannya, iaitu seseorang suami bermusyawarah dengan isterinya ketika ingin menikahkan anak gadisnya. Ini kerana ibu lebih tahu terhadap anak perempuannya daripada ayahnya.
Dalam salah satu hadith Rasulullah saw yang dikemukakan bahawa Ali bin Abi Talib pernah menanyakan, “ Seandainya ada masalah yang baru kami hadapi sepeninggalanmu, langkah apa yang harus kami lakukan? ” Rasulullah saw menjawab; “ Kumpulkanlah orang-orang yang ahli dari umatku, lakukanlah musyawarah dengan mereka, dan sekali-kali janganlah kamu memutuskan dengan pendapat peribadi seseorang.” ( HR. Malik )

Jelaslah bahawa al-Quran dan hadith Rasulullah saw amat mengambil perhatian konsep syura dalam kehidupan seharian. Buktinya, surah al-Syura ayat 38 dan surah Ali Imran ayat 159 telah menggariskan kewajipan musyawarah dalam Islam. Musyawarah dalam Islam bersifat inklusif, bukan hanya sesama muslim, malah jua pada non muslim. Ahli Fuqaha’ bersependapat bahawa berdirinya lembaga musyawarah itu adalah satu keharusan demi menjaga kemaslahatan umat. ( Dahlan; Abdul Azis 1997 )

4.0 KEPENTINGAN SYURA

Allah swt berfirman;
وشاورهم في الأمر

Maksudnya: “ Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam menghadapi sesuatu perkara.” ( Ali Imram; 3; 159 )

Al-Imam al-Nawawi ( 1987 ) menjelaskan ayat tersebut di mana apabila Allah swt menerangkan dengan jelas di dalam kitabNya perintahNya kepada Rasulullah saw bermusyawarah, sedangkan baginda seorang yang berakhlak mulia namun baginda tetap mentaati perintah Allah swt untuk bermusyawarah. Disunatkan bagi seseorang yang menghadapi suatu perkara yang penting bermusyawarah dengan orang yang dapat dipercayai agamanya, pengetahuannya, kecerdasannya, nasihatnya dan waraknya. Disunatkan juga bermusyawarah kepada suatu jemaah yang lebih banyak dengan sifat-sifat tersebut.

Musyawarah sangat diperlukan terutamanya pada hak waliy amr ( penguasa ) seperti sultan, kadi dan seumpamanya. Terdapat hadith sahih yang menerangkan bahawa Umar al-Khattab bermusyawarah dengan para sahabatnya dan beliau rujuk mengikut pendapat mereka.

Dari Tamin al-dari r.a dari Rasulullah saw bersabda;

الدين النصيحة قالوا: لمن يا رسول الله؟ قال لله و كتابه و رسوله و ائمة و عامتهم

Maksudnya; “ Agama adalah nasihat. Para sahabat bertanya: Bagi siapa, wahai Rasulullah saw? Baginda bersabda: Bagi Allah swt, kitabNya, rasulNya, pemimpin-pemimpin umat Islam dan semua orang awam. ( HR. Muslim )



5.0 PERANAN SYURA DALAM MEMBANGUNKAN MASYARAKAT PROGRESIF

Istilah ahl al-syura sebagaimana yang dikemukakan oleh Abdul Hamid al-Ansari, sebenarnya telah ada sejak zaman al-Khulafa’ al-Rasyidin ( Abu Bakarr al-Siddiq ( 573-634 ), Umar al-Khattab ( 581-644 ), Usman bin Affan ( 576-634 ) dan Ali bin Abi Talib ( 603-661 ), bahkan sejak zaman Rasulullah saw. Namun, peristilahan tersebut belum mencapai pada satu lembaga yang berdiri sendiri dengan anggota tertentu sebagai dikenali sekarang.

Menurut Dahlan dan Abdul Azis ( 1997 ) penggunaan istilah itu terkenal dan popular pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Selepas zaman pemerintahan al-Khulafa’ al-Rasyidin, timbul istilah lain yang semakna dengan ahl al-syura, iaitu ahl al-hal wal al’aqd dan ahl al-ikhtiyar yang bererti “ orang yang bersepakat untuk melepaskan dan mengikat ”. Dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah karangan Imam al-Marwadi menyatakan ahl al-hal wa al-‘aqd adalah wakil rakyat yang terdiri daripada para mujtahid dalam bidang hukum Islam.

Dengan pengamalan konsep syura dalam kehidupan manusia akan mempunyai nilai tambah dan manfaat yang baik. Dalam syura memberi input dan output yang memuaskan semua pihak malahan dari segi ilmu jua bertambah kerana perkongsian ilmu sesam ahli syura.

Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya “ Sistem Masyarakat Islam Dalam al-Quran dan al-Sunnah ” mengklasifikasikan galakan bermusyawarah dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara.
5.1 Syura – Kehidupan individu

Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi ( 1997 ), Islam mendidik seseorang individu Muslim sekiranya hendak melaksanakan sesuatu urusan penting dan di dalamnya masih terdapat banyak perbezaan pandangan dan pendapat sehingga membuatkan individu tersebut dalam keraguan samaada melaksanakan atau sebaliknya. Maka adalah disaranakan agar merujuk dua kaedah dalam rangka untuk memperolehi keputusan yang benar serta muktamad. Iaitu pertamanya, jalan yang bersifat rabbani dan yang keduanya yang bersifat insani.

Kaedah yang bersifat rabbani dijelaskan seperti beristikharah kepada Allah swt pada suatu kebuntuan dengan melakukan solat istikharah dua rakaat, diikuti berdoa yang mana bertujuan meminta pilihan kepada Allah swt kebaikan di dunia dan akhirat, agama, keluarga serta masyarakat. Manakala kaedah yang bersifat insani pula merujuk kepada konsep musyawarah dengan orang yang dipercayai, berpengalaman, berilmu, memberi nasihat dengan keikhlasan. Dengan itu, pergabungan antara beristikharah dan bermusyawarah secara tidak langsung akan melahirkan individu yang progresif.

Umar al-Khattab pernah berkata; “ Tidak rugi orang yang beristikharah dan tidak pula merugikan orang yang bermusyawarah. ” Para sahabat sering bermusyawarah dengan Rasulullah saw ketikanya hayat baginda dan baginda memberikan pendapat yang benar secara baik dan berhikmah. Sebagaimana kita ketahui, bahawa Fatimah binti Qais pernah bermusyawarah dengan Rasulullah saw tentang masalah pernikahannya. Di mana Mu’awiyah dan Abu Jahm mencintainya. Lantas Rasulullah saw bersabda; “ Adapun Mu’awiyah dia adalah seorang yang tidak mempunyai harta, sedangkan Abu Jahm dia tidak pernah meletakkan tongkatnya dari lehernya ( sering memukul wanita).” Kemudian Rasulullah saw menawarkan Fatimah binti Qais bernikah dengan Usamah bin Zaid.
5.2 Syura – Kehidupan berkeluarga

Dalam kehidupan berkeluarga, Islam mengajak kita untuk membina kehidupan keluarga atas dasar musyawarah dan saling redha. Dorongan ini bermula sejak awal pembentukan terbinanya rumahtangga. Imam al-Ghazali ( 1992 ) menyatakan tidak perlu sangsi bahawa apabila hak-hak kekeluargaan dan kerabat saling difahami dan dipenuhi, maka yang lebih utama dan istimewa lagi ialah kepada orang masih menjadi muhrim itu adalah orang tua terhadap anaknya dan anak terhadap orang tuanya. Oleh itu, hak-hak sesama mereka perlu dikukuhkan antara satu sama lain.
Dari segi kedudukan kekeluargaan, konsep syura ini dapat dilihat melalui proses hak-hak sebelum perkahwinan ( peminangan ), semasa perkahwinan dan selepas penceraian. Nas-nas syariat menolak paksaan seorang ayah untuk menikahkan anak perempuannya tanpa mendapat pendapatnya dan persetujuannya. Sebaliknya Islam mengajar agar seorang bapa perlu mendapat persetujuan dan keizinan anak perempuannya terlebih dahulu. Dalam hal ini terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, mafhumnya;

Maknanya; “ Bermusyawarahlah dengan kaum wanita ( isteri-isterimu ) dalam urusan anak-anak. ” ( HR. Ahmad )

Meskipun ia merasa malu, dan tanda izinnya dan persetujuannya ialah diamnya. Ini kerana diam ketika ditawari sesuatu itu menunjukkan redha dan penerimaan ke atasnya. Beginilah yang disebut dalam Taujih Nabawi. Demikian itu kerana ibu lebih mengetahui hal-hal anak perempuannya daripada ayahnya dari segi perasaan dan keinginan. ( Dr. Yusof al-Qardhawi: 2 )

Manakala setelah terbinanya rumahtangga maka wajib bagi suami isteri untuk saling memahami dan saling bermusyawarah dalam hal yang membawa kepentingan bersama, demikian juga untuk kepentingan anak-anaknya di masa depan.

Contoh teladan yang cemerlangnya pendapat Khadijah dan sikapnya pada awal turunnya wahyu, dan betapa yakinnya Khadijah dalam menguatkan semangat Rasulullah saw sehingga beliau berjumpa dengan Waraqah bin Naufal untuk menyatakan keadaan Rasulullah saw. Tindakan yang dilakukan oleh Khadijah adalah demi menenangkan dan menggembirakan Nabi saw.

Selepas penceraian dalam sesebuah kekeluargaan juga menitikberatkan soal penyusuan anak dan sebagainya. Hal yang demikian sudah pasti Islam menggalakkan soal bermusyawarah dan saling redha meredhai antara satu sama lain. ( Dr. Yusof al-Qardhawi: 2 )

Jelaslah bahawa konsep musyawarah amat dititikberatkan semua aspek kehidupan. Dengan bermusyawarah akan membina keluarga yang bahagia dan menjamin kesejahteraan masa depan anak-anak.

5.3 Syura – Kehidupan bermasyarakat dan bernegara

Syura dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara dapat dilihat kepentingannya dari segi unsur berjemaah ( bermasyarakat ) Dalam al-Quran banyak menjelaskan tentang pembangunan masyarakat melalui kaedah-kaedah asasi dan meletakkan dasar-dasar kehidupan Islam. Ini dapat dilihat pada ayat Makkiyyah, surah al-Syura ayat 38. Firman Allah swt;

و الديناستجابوالربهم و أقامواالصلاة و أمرهم شورى بينهم و مما رزقناهم ينفقون

Maksunya: “ Dan bagi orang-orang yang menerima ( mematuhi ) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka ( diputskan ) dengan musyawarah antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. ” ( al-Syura: 42: 38 )

Yang dimaksudkan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi ( 1997 ) dengan firman Allah swt و أمرهم شورى, di sini adalah urusan mereka yang bersifat umum, sebagai kepentingan bersama. Itulah yang diperintahkan oleh Allah swt kepada RasulNya untuk bermusyawarah.

Manakala ayat Madaniyyah dapat dilihat pada surah Ali Imran ayat 159. Yang mana Allah swt berfirman;
وشاورهم في الأمر
Maksudnya: “ Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam menghadapi sesuatu perkara.” ( Ali Imram; 3; 159 )

Perintah ayat ini turun semasa Perang Uhud, di mana Rasulullah saw bermusyawarah dengan para sahabat, tetapi Rasulullah saw mengikuti pendapat majority sahabat. Dan hasilnya adalah kekalahan yang menimpa umat Islam sehingga gugur tujuh puluh syuhada’ dari para sahabat pilihan, termasuk di antaranya Hamzah, Mush’a, Sa’ad bin Rabbi dan lain-lain.

Sebagaimana Islam juga memerintahkan seorang hakim ( penguasa ) untuk bermusyawarah dalam segala hal dan ia juga memerintahkan umat untuk memberi nasihat kepadanya pada satu masa lain. Dari Tamin al-dari r.a dari Rasulullah saw bersabda;

الدين النصيحة قالوا: لمن يا رسول الله؟ قال لله و كتابه و رسوله و ائمة و عامتهم

Maksudnya; “ Agama adalah nasihat. Para sahabat bertanya: Bagi siapa, wahai Rasulullah saw? Baginda bersabda: Bagi Allah swt, kitabNya, rasulNya, pemimpin-pemimpin umat Islam dan semua orang awam. ( HR. Muslim )

Kewajipan beramar ma’ruf dan nahi munkar adalah kewajipan yang bersifat umum. Ia mencakupi para pemimpin dan rakyat secara keseluruhannya. Demikian juga kewajipan dalam memberi nasihat yang benar, nasihat untuk sabar, di mana tidak ada keselamatan bagi manusia dari kerugian dunia dan akhirat kecuali dengan melaksanakan semua itu.

Dalam pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq, beliau berkata dalam pidatonya kenegaraannya yang pertama setelah diangkat sebagai khalifah, beliau menjelaskan tentang manhaj dalam pimpinannya:
“ Jika kamu melihat aku dalam kebenaran, maka bantulah aku, tetapi jika kamu melihat aku dalam kebatilan maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat kepada Allah swt, dan jika aku bermaksiat kepadaNya, maka tidak ada lagi kewajipan atas kalian untuk taat kepadaku.”

6.0 KESIMPULAN

Oleh yang demikian, terserlahlah keunggulan sistem syura yang menjadi asas dalam membangunkan masyarakat progresif. Rasulullah saw sering bermusyawarah dalam kehidupannya dan baginda amat menghargai hasil daripada sesebuah musyawarah meskipun diyakininya bahawa keputusan yang diambil itu bukan langkah yang terbaik. Seterusnya para sahabat juga mengamalkan konsep syura dalam zaman pemerintahan mereka dan sehingga kini negara Islam seperti Iraq juga mengamalkan konsep syura dalam penyelesaian sesuatu perkara.
Dalam kitab Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam, Dr. Yusuf al-Qardhawi ( 1998 ) menjelaskan bahawa syura mempunyai sempadan yang tidak boleh dilangkahi. Aqidah keimanan Islam, rukun-rukun amali, asas-asas akhlak dan hukum-hukum qat’inya adalah cirri-ciri asasi yang diterima oleh masyarakat dan di atas asas inilah terbinanya sistem kehidupan.

No comments: