Wednesday, June 20, 2007

KEPIMPINAN MENURUT AL-MAWARDI

Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 30;

وإذ قال ربك للمليكة إنى جاعل فى الأرض خليفة...الخ 30

Maksudnya; “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat; “Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di muka bumi…”

Manakala Rasulullah saw bersabda;

“Setiap daripada kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan diminta
bertanggungjawab di atas kepimpinannya” (HR. Bukhari dan Muslim)

Hakikatnya terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi saw menjadi dalil kepada konsep kepimpinan. Menurut Andek Masnah Andek Kelawa. 2001: 35, perkataan khalifah pada ayat tersebut bermakna pengganti yang menggantikan seseorang dalam melaksanakan sesuatu urusan. Al-Hassan al-Basri menyatakan, khalifah ialah pengganti yang menggantikan sebahagian akan sebahagian yang lain. Mereka itu adalah anak cucu Adam a,s yang menggantikan tempat bapa mereka (Adam a.s) dan setiap kurun akan ada generasi yang akan menggantikan generasi kurun sebelumnya.

Oleh yang demikian, kepentingan pemimpin dalam sesebuah masyarakat atau institusi tidak dapat dipertikaikan kerana tanpa pemimpin sesebuah masyarakat atau institusi tidak akan berjalan lancar. Begitu juga, pemimpin adalah sejenis seni untuk berhubung dengan tabiat manusia, mempengaruhi tingkah lakunya serta mengarahkannya kearah matlamat yang tertentu, dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatannya.

Islam meletakkan institusi kepimpinan di tahap yang utama. Sama ada pemimpin mahupun mereka yang di bawah pimpinannya. Kesemuanya saling bertanggungjawab dan memainkan peranan bersesuaian dengan kedudukan masina-masing. Oleh itu, Islam telah meletakkan Rasulullah saw sebagai contoh teladan kepada seluruh anggota masyarakat. Malah Islam menganggap kewujudan pemimpin dalam sesebuah masyarakat atau organisasi adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan. Sehubung itu, Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Said dan Abu Hurairah r.a bahawa Rsulullah saw bersabda;

إذا خرج ثلاثة فى سفر فليؤمروا أحدهم

“Apabila tiga orang keluar bermusafir maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka untuk menjadi ketua atau amir.”

Kepimpinan bersepadu, seimbang serta memiliki ciri-ciri serta prinsip-prinsip pemimpin Islam menjadi matlamat kepimpinan dalam Islam. Kerana ia akan menghasilkan keseimbangan pembangunan material dan pembangunan spiritual ( akhlak dan agama ), iaitu kepimpinan yang mempersepadukan di antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Lantaran dari itu, pemimpin yang mempunyai cirri-ciri kepimpinan Islam akan dapat membimbing manusia kearah keredhaan Allah swt dan melahirkan masyarakat yang cemerlang, bermoral,. bermaruah, berhemah tinggi, serta berkualiti.











2.0 DEFINISI KEPIMPINAN


Definisi kepimpinan;

Merujuk Hisham Altalib, dalam buku karangannya Panduan Latihan Bagi Petugas Islam. 1992: 51 mentakrifkan kepimpinan adalah satu proses menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu arah yang telah ditentukan melalui dorongan yang tidak memaksa. Kepimpinan yang baik menggerakkan manusia untuk memenuhi kehendak jangka panjang. Kepimpinan juga dapat ditakrifkan suatu peranan dan proses mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah sebahagian daripada ahli kumpulan yang diberi kedudukan yang tertentu dan dijangka bertindak sesuai dengan kedudukannya. Pemimpin juga seorang ahli dalam kumpulan yang diharapkan menggunakan pengaruh dalam melaksana dan mencapai matlamat kumpulan.

Menurut bahasa, dalam Kamus Dewan (edisi ketiga). 2002: 1037 perkataan kepimpinan berasal dari kata dasar pimpin yang bererti bimbing, pandu, tunjuk dan sebagainya. Maksud yang lain iaitu berbimbing. Apabila perkataan tersebut ditambah awalannya dengan me-memimpin, ia bermaksud memegang tangan dan membawa berjalan menuju ke sesuatu tempat (menunjukkan jalan dan lain-lain), membimbing, menuntun. Dan makna lain ialah mengepalai atau mengetuai serta mengendalikan (badan, pertubuhan, negara dan lain-lain). Manakala pemimpin bererti orang yang memimpin dan kepimpinan ialah keupayaan memimpin.

Dari segi bahasa Arab, kepimpinan ialah Imamah, Ri’asah, Qiyadah, Ria’yah, Khilafah dan Siyadah. Dari sudut istilah, pemimpin bermaksud seseorang yang bertindak mengetuai atau memimpin sesebuah masyarakat dan lainnya.





3.0 OBJEKTIF KEPIMPINAN ISLAM


Objektif menjadi sasaran utama bagi seorang pemimpin dalam pimpinannya, tidak kira sama ada objektif berbentuk jangka pendek atau jangka panjang. Objektif juga kekadangnya dipengaruhi dan mempengaruhi peribadi seseorang pemimpin, kewibawaan, kecekapan, dan unsure-unsur material. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan objektif individu adakalanya tersasar dan sebagainya.

Selepas penghijrahan, kepimpinan Islam di Madinah diwujudkan, ekoran dari itu lahirlah dua objektif utama lagi penting ke atas kepimpinan Islam. Objektif pertama lebih tertumpu kepada masyarakat Islam iaitu pelaksanaan syariat Islam ke atas umat Islam dan masyarakat. Iaitu dengan cara menegakkan keadilan dikalangan meraka, melaksanakan persamaan dan menegakkan undang-undang Islam ke atas seluruh bidang kehidupan masyarakat dari segi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. (Abu al-Futtuh. 1977)

Jelaslah bahawa untuk memastikan terlaksana maka perlulah wujudnya kesatuan masyarakat Islam, membina persaudaraan yang kuat dan utuh, mematuhi dan mentaati kepada agama Islam dan mestilah diberi kebebasan beriktiqad yang dituju kepada non-Muslim, kerana Islam tidak memaksa mereka memeluk Islam.

Objektif yang kedua ialah menyebarkan dakwah Islamiyyah kepada masyarakat seluruh dunia tentang kebenaran dan kesucian agama Allah swt. Sekiranya terdapat penentangan yang mendatangkan mudarat, maka ini memerlukan jihad pada jalan Allah swt dalam usaha memartabatkan daulah Islamiyyah atas muka bumi. (Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 2001: 46-46)





4.0 KEPIMPINAN ISLAM MENURUT PANDANGAN AL-MARWADI


Siapa al-Mawardi ?

Menurut Datin Sohair Addel Moneim Sery dalam buku karangannya, Konsep Pengurusan Pentadbiran Menurut Islam Satu Kajian Perbandingan, Dengan Penekanan Ke Atas Konsepsi Kepimpinan Dalam Islam.1990: 89, Al-Marwadi (Abu Al-Hassan Ali Ibni Habib al-Basri) ialah seorang ulama’ yang terkenal. Beliau telah dilahirkan di al-Basrah pada tahun 957M/364H. Ia dibesarkan di al-Basrah dan menetap di Baghdad. Beliau adalah ulama’ terkemuka dari Mazhab Syafie. Beliau telah memegang tampuk kehakiman di banyak negeri. Beliau juga dikatakan mempunyai kedudukan tinggi di sisi sultan dan amat berpegang teguh kepada agama dan seorang yang bertaqwa.

Kitabnya Ahkam As-Sultaniah (undang-undang kesultanan) dianggap pengajian ilmiah ulung dalam pengkajian asal-usul pentadbiran kerajaan Islam. Kitab ini menyentuh tajuk-tajuk yang dikaji oleh penulis-penulis pentadbiran umum yang moden. Al-Marwadi telah membuat pengkajian mengenai kepimpinan yang dikenali dalam negara Islam sebagai al-Imamah. Beliau juga membincangkan mengenai kementerian, dewan dan bahagian-bahagiannya. Dalam kitab tersebut beliau turut membincangkan wizarah(jawatan menteri), imarah (gabenor/ketua), kehakiman, wilayah al-Mazalim (mahkamah penganiayaan) dan lain-lain.

Antara hasil karyanya yang masyhur ialah:
1. Kitab al-Nukat wa al-‘Uyun fi Ta’wil al-Quran
2. Kitab al-Hawi al-Kabir dan Kitab al-Iqna’
3. Kitab al-‘lam al-Nubuwwah
4. Kitab al-‘Uyun fi al-Lughah
5. Kitab al-Amthal wa al-Hikam
6. Kitab Adab al-Din wa al-Dunya
7. Kitab Nasihah al-Muluk dan lain-lain.
Beliau meninggal dunia pada tahun 450H. Beliau pernah menjadi Qadhi (Hakim) di Basrah dan Baghdad, juga pernah menjawat jawatan Qadhi al-Qudat pada tahun 1037M. (Prof. Madya Dr. Abd. Halim El-Muhammady.1996: 47)

Al-Marwadi berpendapat bahawa kepimpinan (al-Imamah) hukumnya fardu kifayah seperti jihad. Beliau berpendapat seorang pemimpin mesti menjalankan tugas-tugasnya sendiri bagi menjalankan polisi negara dan kepentingan agama. Firman Allah swt dalam surah Shad, ayat 26:

يداود إنا جعلنك خليفة فى الأرض فاحكم بين الناس بالحق ولا تتبع الهوى فيضلك عن سبيل الله إن الدين يضلون عن سبيل الله لهم عذاب شد يد بما نسوا يوم الحساب26
Maksudnya; “Wahai Daud, sesungguhnya kami telah menjadikan kepada kamu khalifah di muka bumi. Maka jalankanlah hukum ai antara manusia (hukum-hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah”.

Al-Marwadi juga menyatakan kewajipan seorang Imam (pemimpin) adalah dari segi hal agama, ketenteraan, kehakiman, pentadbiran dan kewangan. Di antara kewajipan pentadbiran ialah melantik orang yang layak dan amanah dan sebagainya lagi.











5.0 Kriteria-kriteria Seorang Pemimpin Menurut Al-Mawardi


Menurut al-Mawardi dalam kitabnya Ahkam al-Sultaniah. 2000: 14, menyatakan terdapat tujuh kriteria yang perlu ada pada seorang pemimpin, iaitu;
i. Adil.
ii. Mempunyai ilmu yang membolehkan dia berijtihad dalam persoalan hukum hakam dan peristiwa yang berlaku.
iii. Selamat pancaidera (yakni pendengaran, penglihatan, percakapan) .
iv. Selamat anggota tubuh badan dari kekurangan yang menghalang pergerakannya.
v. Mempunyai pengetahuan tentang pentadbiran dan siasah rakyat.
vi. Bersifat berani dan tegas yang membolehkan dia mempertahankan negara dan melakukan jihad ke atas musuh.
vii. Berketurunan Quraisy

Al-Marwadi memberi penekanan bahawa lembaga pemilih (ahlu al-hal wa al-‘aqd) mestilah membuat pilihan berdasarkan “lebih baik lebih layak” menurut keadaan. Imam yang dipilih ini dipertanggungjawabkan sepuluh tugas seperti berikut;
1. Menjaga agama supaya selamat dari penyelewengan dan penjenayah hendaklah
dikenakan hukuman (hudud dan ta’zir).
2. Melaksanakan hukuman ke atas perbalahan dan menyelesaikan pertikaian supaya tidak ada orang yang menzalimi dan orang yang teraniaya.
3. Mengawal sempadan negara supaya negara dan ummah terjamin keselamatannya.
4. mengawal keselamatan negara.
5. Melaksanakan hukum hudud supaya larangan Allah swt tidak dicabul dan supaya
terkawal hak manusia.
6. Melakukan jihad sesudah berdakwah.
7. Mengutip cukai dan zakat yang diwajibkan oleh syarak.
8. Mengagihkan harta Baitulmal kepada orang yang berhak secara yang sesuai dan adil.
9. Melantik pegawai-pegawai yang amanah untuk menjalankan tugas pentadbiran.
10. Menyelia sendiri keadaan ummah dan penjagaan ke atas agama.

Imam yang menjalankan tugas-tugas ini berhak ditaati oleh rakyat dan berhak dibantu. Dua hak ini akan hilang jika keadaan itu berubah iaitu;
a. Apabila berlaku kecacatan dalam keadilannya seperti menjadi fasik kerana melakukan perkara mungkar. Adilnya juga menjadi cacat apabila ada sesuatu pemikiran atau mempercayai sesuatu yang bercanggah dengan kebenaran (mentafsirkan sesuatu dengan cara yang bercanggah dengan kebenaran).
b. Cacat anggota tubuh.

Ada empat kategori tugas yang boleh ditentukan oleh Imam,iaitu;
1. Melantik pegawai untuk kerja-kerja umum tanpa dibataskan kepada sesuatu kerja
seperti perlantikan menteri-menteri (wuzara) yang diberi kuasa menjalankan
semua perkara.
2. Melantik pegawai untuk satu bidang kerja yang luas tetapi bagi satu kawasan
sahaja. Contohnya, seperti perlantikan gabenor-gabenor (umara’ al-aqalim).
3. Perlantikan pegawai untuk kerja-kerja umum yang kawasan dan bidangnya
terbatas. Contohnya, seperti perlantikan ketua qadhi ketua tentera dan pegawai
cukai atau zakat.
4. Perlantikan pegawai untuk kerja-kerja khas dan dalam kawasan yang terbatas.
Contohnya, seperti perlantikan qadhi atau pengutip cukai untuk satu daerah yang
tertentu.








6.0 PERLANTIKAN WAZIR MENURUT AL-MAWARDI


Perlantikan wazir adalah dibuat oleh imam. Perlantikannya bertujuan untuk membantu imam menjalankan tugasnya. Ini adalah kerana imam tidak berupaya melakukan semua kerja secara persendirian.

Oleh kerana wazir menjalankan tugas imam maka seseorang yang akan dilantik menjadi wazir mestilah mempunyai syarat-syarat kelayakan calon imam, kecuali syarat tentang keturunan (nasab) dimana ia tidak semestinya seorang Quraisy. Selain dari itu, al-Mawardi juga meletakkan satu lagi syarat tambahan iaitu – hendaklah dia seorang yang berkemampuan untuk menjalankan tugas di dalam bidang di mana ia ditugaskan. Dengan keupayaan atau pengetahuan ini wazir tersebut dapat melantik pegawai-pegawai dalam bidang berkenaan yang sesuai dengan tugasnya.

Imam mempunyai kuasa mengawas wazir dalam pentadbiran dan melantik pegawai. Ini bertujuan supaya wazir tidak bersikap kuku besi. Di samping itu, imam mempunyai hak untuk menolak perbuatan-perbuatan wazir yang salah.

Al-Mawardi membincangkan tentang dua jenis wazir iaitu, wazir tafwid dan wazir tanfiz. Beliau menjelaskan tugas mereka masing-masing, di samping menjelaskan juga tentang kuasa mereka mengenai tugas menteri secara umumnya dapat disimpulkan seperti berikut;
1. Melaksanakan perintah khalifah serta memastikan yang perintah itu tidak mempunyai kesalahan ketika dikeluarkan. Perlaksanaan hendaklah dijalankan segera.
2. Membuat keputusan-keputusan yang memberi faedah kepada negara.
3. Beriltizam dengan keputusan-keputusan yang dibuat supaya ia menjadi contoh kepada pegawai-pegawai lain.
4. Menjauhkan kepentingan diri dalam menjalankan tugasnya kerana Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “pemerintah yang memperniagakan rakyatnya adalah merupakan pemerintah yang tidak adil”.
5. Wala’ (memberi kesetiaan) dan ikhlas.

Dalam Qawanin al-Wuzara’, al-Marwadi meletakkan asas pentadbiran wazir ke atas asas berikut;
1. Mentadbir atas asas agama dan atas dasar al-haq.
2. Mentadbir secara adil. Kerana keadilan dapat menarik ketaatan manusia. Adil ini dalam berbagai bentuk;
i. Adil dalam harta
ii. Adil dalam percakapan (iaitu bercakap sesuai dengan keadaan orang yang dicakapkan)
iii. Adil dalam perbuatan iaitu menghukum hanya ke atas orang yang salah sahaja.
3. Melantik orang yang berkelayakan.
4. Menunaikan janji (sama ada janji baik atau janji untuk mengenakan hukuman)
5. Sentiasa bertegas dalam mempertahankan haq dan bercakap benar (al-jid wa al-haq wa al-sidq).(Prof. Madya Dr. Abd. Halim El-Muhammady. 1996: 53-57)

Menurut Datin Sohair Abdel Moneim Sery. 1990: 91. menyatakan al-Mawardi telah membincangkan pertambahan pendapatan negara juga akan mempengaruhi kenaikan gaji para pekerja. Beliau juga membincangkan soalan pengekalan pembayaran kepada seorang askar selepas mati (yakni pembayaran gaji si mati kepada ahli keluarga) yang dikenali sebagai sistem pencen. Dan pelbagai perkara lain yang dibincang oleh al-Mawardi. (sila rujuk kitab Ahkam al-Sultaniah)

Maka jelaslah bahawa al-Mawardi amat titikberatkan soal pemilihan dan perlantikan pemimpin dalam sesebuah kepimpinan. Ini adalah kerana pemimpin yang menepati kriteria-kriteria sahaja akan dilantik adalah untuk memastikan mereka dapat menjalakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi,amanah, bertanggungjawab dan ikhlas dan untuk memastikan tercapai matlamat sebenar kepimpinan Islam.


7.0 KEPIMPINAN DAKWAH RASULULLAH SAW


Kepimpinan dalam dakwah adalah merujuk kepada tanggungjawab dan peranan keagamaan iaitu aqidah, syariat dan akhlak Islamiyyah. Sehubungan dengan itu, perkara ini adalah berkait secara langsung dengan peranan Kerasulan. Justeru itu, Rasul-rasul adalah pemimpin dalam kerohanian yang diutus Allah swt membimbing manusia kejalan kebenaran dan kesejateraan. Buktinya ialah Allah swt berfirman dalam al-Quran, surah al-Hadid ayat 25;

لقد أرسلنا رسلنا بالبينات و أنزلنا معهم الكتاب و الميزان ليقوم الناس بالقسط...الخ 25

Maksudnya; “ Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul-rasul kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah kami turunkan bersama-sama mereka kitab dan neraca supaya manusia dapat melaksanakan keadilan”.

Konsep kepimpinan dakwah Rasulullah saw adalah untuk semua manusia ( rujuk surah Saba : 34 ) dan merupakan rahmat kepada seluruh alam ( rujuk surah al-Anbiya’ : 107 ). Manakala baginda berperanan sebagai pemimpin dan dikagumi sebagai saksi seperti yang dinyatkan Imam al-Zamkshari bahawa maksud saksi tersebut merujuk kepada peranan baginda membawa kalimah syahadah agar dihayati manusia. Baginda juga beperanan sebagai Mubassyir dan nazir iaitu menyeru, mengajar dan mengingat manusia tentang balasan baik dan buruk bagi kedua-dua perlakuan baik dan buruk.Selain dua peranan Rasulullah saw di atas, baginda juga sebagai Da’i dan sirajan muniran (obor atau cahaya yang menerangi). Rasulullah saw ibarat cahaya yang menerangi manusia dari jalan kegelapan kepada jalan kebenaran melalui dakwah Islamiyyahnya. (Dr.Abdul Ghafar Hj Don. 2003: 51-55)

Selepas kerasulan Rasulullah saw, baginda telah melaksanakan dakwah dari secara rahsia kepada dakwah terang-terangan dengan penuh komitmen, berterusan, tanpa rasa putus asa walaupun mendapat tentangan yang hebat. Sama ada tempoh dakwah di Makkah mahupun di Madinah. Dengan usaha bersungguh-sungguh serta bantuan para sahabat baginda akhirnya agama Islam dapat dimartabatkan melalui hikmahnya dakwah Rasulullah saw.

Antara contoh kegigihan dakwah Rasulullah saw sebagai pemimpin ialah sebaik sahaja menawan kota Makkah, sejurus itu baginda menghantar rombongan dakwah yang diketuai Khalid al-Walid kepada Bani Jadhimah.

Menurut Dr. Abdul Ghafar Hj Don, dua elemen utama yang mendorong kejayaan dakwah Rasulullah saw iaitu, pertamanya faktor berkaitan kualiti keperibadian dan keduanya iaitu wawasan strategik yang berkaitan dengan aspek kebijaksanaan kepimpinan dan pengurusan dakwah baginda.

• Faktor kualiti keperibadian Rasulullah saw, antaranya;
i- Siddiq, amanah, tabligh, fatanah.
ii- Sabar
iii- Istiqamah
iv- Tawakal
v- Iltizam yang tinggi
vi- Layyin
vii- Iffah
viii- Tawaduk

• Faktor wawasan yang strategik
i- Pembinaan masjid
ii- Inisiatif persaudaraan (mu’akkhat)
iii- Piagam Madinah
iv- Surat-surat dan delegasi dakwah kepada Raja-raja ke luar negara
v- Kebajikan sosial

Kedua-dua faktor ini merupakan elemen yang amat kuat mendorong kejayaan dakwah Rasulullah saw. Baginda mengintegrasikan dan mengaplikasikan dua faktor ini dalam kepimpinan dakwah. Oleh yang demikian, merujuk kepada dakwah masa kini, maka didapati perlulah para pemimpin Islam menteladani kepimpinan dakwah Rasulullah saw untuk merealisasikan matlamat sesebuah organisasi iaitu menuju keredhaan Allah swt.






















KESIMPULAN


Kesimpulannya, jelaslah bahawa perkataan pimpinan, pemimpin dan memimpin adalah membawa kepada erti perkataan kepimpinan. Maka kepimpinan Islam adalah satu bentuk interaksi kelompok atau proses interaksi antara seseorang individu dengan individu yang lain. Kepimpinan dalam Islam sifatnya adalah bersepadu, iaitu menitikberatkan keseimbangan di antara kepentingan roh dan jasad, perkembangan spiritual dengan pembangunan material, bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan akhirat.

Oleh yang demikian, untuk mencapai matlamat hakikat kepimpinan Islam, maka dapat disimpul dari kepimpinan al-Mawardi ialah, beliau memberi perhatian yang serius kepada sifat-sifat peribadi calon untuk sesuatu jawatan, seperti amanah, mempunyai keupayaan, adil, berpegang teguh dengan agama dan lain-lain. Pemilihan pegawai atau kakitangan hendaklah sentiasa berdasarkan “lebih baik dan lebih layak”. Oleh itu, jika didapati seseorang yang lebih layak memegang jawatan maka pegawai yang sedang memegang jawatan yang kurang layak maka hendaklah diganti dengan calon yang lebih layak. Objektif kepimpinan Islam iaitu melaksanakan syariat Islam mengikut al-Quran dan al-Sunnah ke atas umat Islam dan menyebarkan dakwah Islamiyyah. Natijahnya kepimpinan seperti ini akan mencapai matlamat kepimpinan Islam yang utama ialah mencapai keredhaan Allah swt.


Kertas Kerja: Ijazah Sarjana Muda _ Tahun 1 FPI UKM