Monday, August 18, 2008

Kenali Saudara Baru - penulisan Tan Ai Pao

DEFINISI DAN KONSEP


2.1 Pengenalan

Anuar Puteh ( 1999: 1 ) dalam tesis beliau yang bertajuk Program Kefahaman Islam Saudara Baru Cina di Kuala Lumpur menyatakan bahawa dalam konteks masyarakat di Malaysia, saudara baru yang terdiri daripada Cina, India atau masyarakat lain sering dirujuk dan diistilahkan sebagai ' mualaf ' oleh masyarakat Islam amnya dan khasnya masyarakat Melayu.

Dalam masyarakat Cina khususnya, ketokohan pelayar Islam unggul dan Muslim sejati iaitu Cheng Ho tidak dapat dinafikan lagi. Dalam Berita Harian bertarikh 24 Oktober 2005, ruangan Agama ( Ilmuan Islam ) menjelaskan Laksamana Cheng Ho berjaya menakluki dunia melalui tujuh ekspedisi pelayaran ke Lautan Hindi dan Lautan Pasifik Barat dari benua Asia hingga ke Afrika. Dalam ekspedisi itu, beliau berlabuh di 30 negara. Kejayaan tokoh Islam ini membuktikan negara China mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang teknologi perkapalan dan pelayaran. Pelayar kurun ke-15 Dinasti Ming ini dijadikan sida-sida putera Zhu Di pada umur 13 tahun. Beliau adalah sida-sida pertama memegang jawatan laksamana di China. Cheng Ho turut melakar sejarah peradaban China apabila menjadi pegawai tertinggi tentera pertama beragama Islam. Sejarah mencatatkan, beliau adalah pemimpin unggul mengetuai armada lebih 100 kapal bersama 27,000 orang ke lautan Barat mendahului Vasco da Gama dan Christopher Columbus menemui laluan ke Laut Timur. Walaupun armada Cheng Ho paling kuat di dunia, tetapi tidak pernah menjajah satu negara pun. Jelasnya, Laksamana Cheng Ho memartabatkan maruah China di pentas dunia. Kisah Cheng Ho adalah perjuangan mencari kesempurnaan


hidup menerusi ajaran Islam. Perjuangan menyempurnakan kecacatan hidupnya yang terpaksa menghambakan diri kepada maharaja. Walaupun beliau tidak berpeluang mengembangkan zuriat, namun Cheng Ho, tidak berputus asa dengan suratan hidupnya kerana berpegang kuat kepada ajaran Islam. Cita-cita agungnya untuk menunaikan ibadah haji sebagai menyempurnakan kehidupan beragamanya. Cheng Ho adalah contoh Muslim sejati dan lambang kesetiaan sejagat.

Masyarakat Non Muslim di Malaysia khususnya masyarakat Cina Non Muslim memaklumi akan kisah ketokohan Laksama Cheng Ho yang beragama Islam. Tanpa sama sekali menafikan kehebatan tokoh dari negara China ini. Malahan semangat dan aura Cheng Ho juga diserapkan dalam kehidupan mereka. Namun yang demikian, masyarakat Cina Non Muslim tidak terkecuali daripada memberikan beberapa persepsi atau anggapan terhadap saudara baru Cina, sama ada daripada segi pengamalan agama, muamalat dan hubungan kekeluargaan setelah memilih ajaran Islam sebagai pegangan hidup.


2.3 Definisi dan Konsep Saudara Baru

Saudara baru atau mualaf merupakan istilah yang biasa disebut dalam masyarakat. Pelbagai takrifan dan pengertian dikemukakan dalam kamus-kamus, ulamak semasa dan sebagainya. Dalam membincangkan konsep saudara baru, faktor-faktor pengislaman saudara baru, cabaran-cabaran yang dihadapi saudara baru, kepentingan bimbingan kepada saudara baru, dan lainnya merupakan elemen yang penting untuk mengenali saudara baru dan persekitaran mereka.

2.3.1 Definisi Saudara Baru

Perkatan mualaf atau saudara baru disebut sekali dalam al-Quran al-Karim di dalam surah al-Taubah ayat 60: Firman Allah SWT:


Maksud: " Sesungguhnya sedekah-sedekah ( zakat ) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk ( dibelanjakan pada ) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir ( yang keputusan ) dalam perjalanan. ( Ketetapan hukum yang demikian itu ialah ) sebagai satu ketetapan ( yang datangnya ) daripada Allah SWT. Dan ( ingatlah ) Allah SWT amat mengetahui lagi amat bijaksanan " ( al-Taubah 9: 60 ).

Jelaslah dalam ayat 60, surah al-Taubah ini memberi kepastian bahawa terdapat lapan asnaf yang berhak untuk mendapat zakat. Selain daripada golongan fakir, golongan miskin, amil-amil yang mengurus zakat, golongan yang memerdekakan hamba, golongan yang berhutang, golongan fisabilillah, orang-orang yang bermusafir dan terputusnya bekalan yang berhak ke atas peruntukan zakat, golongan mualaf atau saudara baru juga mempunyai bahagiannya dalam pemberian zakat.

Dalam mendefinisikan saudara baru atau mualaf ini, dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu definisi daripada sudut bahasa, definisi semasa dan definisi daripada ulamak.

2.3.2 Definisi Bahasa

Menurut Kamus Dewan ( 2002: 900 ) perkataan mualaf bermaksud orang-orang yang baru memeluk Islam atau saudara baru. Manakala dalam Lisn al-Arab karangan Ibn. Manzur ( t.th,1: 180 ), perkataan mualaf berasal dari al-lafa bereti menghimpunkan sesuatu dengan sesuatu atau menyatukan sesuatu dengan sesuatu.

Kamus al-Mawrid ( 1988: 940 ), و المؤلفة قلوبهم bermaksud mereka yang mana hatinya telah didamaikan. Dalam perbandingan ini, Ensiklopedia Islam ( 2005: 48-49 ) memberi penjelasan bahawa mualaf ialah orang yang diambil perhatiannya agar masuk Islam atau memperkuatkan keislamannya disebut mualaf. Kata mualaf hanya disebut satu kali dalam al-Quran surah al-Taubah ayat 60. Iaitu mualafatu qulbuhum ( orang yang dijinakkan hatinya ). Secara popularnya dalam masyarakat umum, istilah mualaf biasanya difahami sebagai ' orang yang baru masuk Islam atau orang yang memiliki pengetahuan minima tentang Islam '. Dalam membahaskan mualaf ulamak fiqh selalu mengaitkannya dengan pembahasan mengenai zakat. Bahkan dapat dikatakan bahawa pembahasan mualaf dalam feqah merupakan sub bahasan dalam bab zakat.

Merujuk Kamus Istilah Fiqh ( 1997: 221 ), mualaf ialah mereka yang dipujuk hatinya atau yang baru memeluk Islam dan iman mereka masih lemah. Mereka tergolong dalam lapan asnaf yang berhak menerima zakat.

Dalam Mazhab Syafie, terdapat empat golongan mualaf, iaitu; Orang yang baru memeluk Islam dan imannya masih lemah. Keduanya, orang Islam berpengaruh yang diharapkan dapat menarik kaumnya memeluk Islam. Ketiganya, orang Islam yang berpengaruh terhadap orang kafir. Dengan pengaruh tersebut, kaum Muslimin dapat terhindar dari kejahatan orang kafir. Dan yang keempatnya, orang yang menolak kejahatan orang anti zakat ( M. Abdul Mujieb, Mabruri Tholhah & Syafiah Am 1997: 221).

Manakala merujuk Kamus Dwibahasa ( 1997: 265 ), Muslim Convert bermaksud seseorang menukar agama asalnya kepada agama Islam. Mualaf yang diertikan a person who changes beliefs, opinion or party merujuk Oxford Dictionary ( 1990: 252 ).

Oleh itu, maksud mualaf daripada sudut bahasa mempunyai persamaan makna iaitu saudara baru atau saudara kita.

2.3.3 Definisi Semasa

Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, saudara baru Cina, saudara baru India atau lain-lain masyarakat dirujuk dan diistilahkan sebagai ' mualaf ' oleh masyarakat Islam amnya dan masyarakat Melayu khasnya ( Anuar Puteh 1999: 1 ). Anuar Puteh ( 2005: 30 ) juga menulis dalam buku Masa Depan Saudara Baru – Harapan, Realiti dan Cabaran, saudara baru merupakan mereka yang telah melafazkan kalimah syahadah dan golongan Muslim yang wajar diberi bimbingan dan perhatian oleh golongan yang lebih berkelayakan.

Manakala takrif lain yang lebih jelas memberi pengertian saudara baru sebagai orang-orang yang dipujuk dan dijinakkan iaitu orang orang yang dipujuk dan dijinakkan hatinya dengan harapan dapat menguatkan pegangan mereka terhadap Islam atau orang-orang yang dipujuk supaya tertarik untuk memeluk Islam ( Amran Kasimin 1985: 1 ). Sebagai bandingan definisi yang dinyatakan oleh Haji Dusuki bin Haji Ahmad ( 1980: 219 ), mualaf adalah orang yang baru memeluk agama Islam. Imannya belum teguh dan mereka berhak menerima sebahagian tertentu daripada harta zakat.

Ahmad Redzuwan Mohd Yunus dan Nur Kareelawati Abd Karim ( 2005: 10 ), mentakrifkan saudara baru adalah kalangan manusia yang baru memeluk agama Islam dan berhak mendapat zakat dan pemberian tersebut bertujuan untuk melunakkan hati dan menguatkan keislaman mereka.

Saudara baru diertikan juga sebagai segolongan manusia yang kufur dan memeluk Islam dengan melafazkan dua kalimah syahadah. Pemberian zakat kepada asnaf mualaf adalah wajib bertujuan untuk memotivasikan serta menguatkan pegangan aqidah Islamiyah yang baru dianuti ( Nur A'thiroh Masyaa'il Tan @ Tan Ai Pao 2005: 78 ).

Daripada pengertian di atas dapat disimpulkan saudara baru adalah mereka yang dijinakkan hati mereka untuk menerima Islam dan telah melafazkan dua kalimah syahadah. Pemberian zakat adalah bertujuan untuk memotivsikan dan memantapkan lagi keislamannya serta beramal dengan ajaran Islam.

2.3.4 Definisi Ulamak

Ulamak semasa yang tersohor, al-Syarawi dan al-Qardhawi ( 2001: 149 ) mentakrifkan mualaf adalah mereka yang kita jinakkan hati mereka dan galakkan mereka untuk menerima Islam atau sebagai tempat pertolongan bagi Muslimin. Mereka terbahagi kepada dua golongan iaitu, muslim dan kafir. Mualaf Muslim ialah mereka yang telah memeluk Islam dan niatnya masih lemah, pemberian zakat untuk menguatkan iman mereka ataupun mereka yang telah memeluk Islam dan niatnya telah kuat terhadap Islam dan mulia di sisi kaumnya maka tidak perlu diberi zakat. Manakala mualaf kafir ialah mereka yang membantu Muslimin untuk memberhentikan kerosakkan oleh kaum kafir dan diberikan zakat. Mualaf adalah salah satu daripada lapan asnaf yang berhak menerima zakat.

Dari sudut istilah pula, perkataan mualaf merujuk kepada perkataan wal-mualafatu qulbuhum ( والمؤلفة قلوبهم ) yang termaktub di dalam ayat 60 surah al-Taubah. Sayyid Qutb ( 1985 ), pula telah mentafsirkan mualaf sebagai golongan manusia yang kembali kepada Islam serta kekal dan beramal baik keislamannya. Dengan pemberian zakat merupakan satu inisiatif yang dapat menyatukan hati mereka,mengukuhkan serta menambahkan rasa cintaya terhadap Islam.

Menurut Muhammad Rasyid Rida ulamak semasa Mesir, mualaf adalah sekelompok orang yang hatinya hendak ditaklukkan agar mempunyai kecenderungan atau ketetapan terhadap Islam, atau agar munculnya bahaya daripada orang tersebut terhadap kaum Muslimin dapat dicegah, atau daripada orang tersebut diharapkan manfaat dalam mempertahankan dan menolong kaum Muslim daripada musuh. Tidak ada kaitannya dengan hubungan perniagaan dan industri atau sejenisnya. Pengertian ini selain menjelaskan tujuan pemberian zakat terhadap mualaf, juga menegaskan bahawa kelompok mualaf tidak sahaja harus terdiri daripada orang Islam, namun juga meliputi orang non Muslim.

Ada enam kelompok yang masuk dalam kategori mualaf, menurut Rasyid Rida. Dua daripada golongan non Muslim dan empat daripada golongan Muslim: Mualaf Islam ialah; (1) Kelompok umat dan pemimpin Islam yang mempunyai lawan ( nuzara' ) non Muslim. Pemberian zakat terhadap golongan ini diharapkan akan membuatkan mereka memeluk Islam. (2) Pemimpin Islam yang ditaati, namun masih lemah imannya. Dengan pemberian zakat terhadap kelompok ini diharapkan akan meneguhkan dan menguatkan imannya dan mendorongnya untuk berbuat jihad dan kebaikan lainnya. (3) Orang Islam yang menjaga benteng dan perbatasan negeri Islam dengan musuh. Zakat diberikan untuk memotivasikan mereka dalam melindungi kaum Muslim daripada serangan musuh. (4) Orang Islam yang diharapkan untuk menarik retribusi zakat daripada orang yang tdak mahu membayarnya kecuali hanya melalui kekuasaan dan pengaruh orang ini. Keberadaan orang ini diharapkan agar tidak terjadi hukuman pembunuhan terhadap orang yang tidak mahu membayar zakat, dan dengannya tercipatlah kemaslahatan dan dapat ditemukan akhaffu al-dararain. Manakala Mualaf bukan Islam ialah; (1) Orang non Muslim yang diharapkan masuk Islam dan (2) Orang Non Muslim yang dikhuatirkan akan menganggu Islam. Pemberian zakat kepadanya diharapkan dapat menghindari bahaya daripadanya atau para pengikutnya.

Al-Jaziri ( 1990: 625 ) merupakan salah seorang pengikut Imam Syafie, mendefinisikan mualaf kepada beberapa jenis, iaitu;

i) Mereka yang lemah imannya, iaitu yang baru memeluk Islam dan berhak diberi zakat.

ii) Mereka yang berpengaruh di kalangan satu-satu masyarakat. Yang mana dengan adanya mereka ini boleh menyebabkan orang lain memeluk agama Islam.

iii) Mereka yang kuat imannya. Apabila diberikan habuan zakat kepadanya menyebabkan orang lain tidak melakukan kejahatan.

iv) Mereka yang boleh menarik orang lain untuk mengeluarkan zakat.

Manakala al-Bahuti ( t.th: 278 ) menjelaskan mualaf adalah ketua-ketua kaum kafir yang diharapkan pengislamannya. Mereka diberi habuan agar tidak melakukan kezaliman atau kejahatan kepada orang Islam. Takrif ini agak berbeza dengan takrifan daripada Dr. Mustafa al-Jin dan Dr. Mustafa al-Bugha ( 2000: 321 ), yang mana mualaf bererti orang yang baru masuk Islam dengan jangkaan pemberian zakat akan menguatkan keislamannya. Ataupun mereka yang mempunyai kedudukan dan pengaruh terhadap kaumnya, dengan pemberian zakat diharapkan kepada mereka akan dapat mempengaruhi orang lain untuk memeluk Islam. Ataupun orang Islam yang berada di sempadan dengan tujuan menjaga orang Islam daripada serangan orang kafir dan penjahat. Ataupun mereka yang mengutip zakat daripada sesuatu kaum yang tidak dapat diutuskan pemungut zakat kepada mereka.

Ulamak terkenal yang telah mengarang kitab Fatah al-Qadr, al-Shaukani ( 1964: 372 ) memetik penerangan daripada Ibn Abbas yang mana mendefinisikan mualaf adalah golongan yang baru memeluk Islam. Imam al-Razi ( 1990: 89 ) dalam kitabnya Tafsr al-Kabr merujuk kepada lima belas orang lelaki elit iaitu Abu Sufian, al-Aqra Ibn Habis, Uyainah Ibn Hashan, Hawaithib Ibn Abd al-Uzza, Sahail Ibn Amr, Harith Ibn Hisham, Sahail Ibn Amr, Abu Sanabil, Hakim Ibn Hazam, Malik Ibn Auf, Shaffuan Ibn Umaiyyah, Abd al-Rahman Ibn Yarbu, al-Jad Ibn Qis, Amru Ibn Mirdas, al-ala Ibn Harith yang diberi 100 ekor unta setiap orang kecuali Abd al-Rahman Yarbudiberi 50 ekor unta dan Hakim Ibn Hazam 70 ekor unta oleh Rasulullah saw.

Dengan itu, jelaslah saudara baru adalah mereka yang dijinakkan hati mereka untuk menerima Islam dan telah melafazkan dua kalimah syahadah. Mereka merupakan golongan yang baru memeluk Islam. Pemberian zakat adalah bertujuan untuk memotivsikan dan memantapkan lagi keislamannya serta beramal dengan ajaran Islam. Manakala golongan Muslimin yang berkelayakan perlu memberi didikan dan bimbingan agama kepada mereka.

2.4 Perbezaan Pendapat Ulamak Tentang Mualaf

Menurut Ensiklopedia Islam ( 2005: 48-49 ), terdapat perbezaan pendapat tentang eksistensi mualaf hingga kini dalam kaitannya sebagai kelompok penerima zakat. Menurut sebahagian ulamak, seperti Imam al-Syafie dan Imam Malik bahagian mualaf telah hilang bersamaan dengan kejayaan Islam yang telah diberikan Allah SWT. Dalil yang memperkuatkan fakta ini adalah ijtihad Umar al-Khattab, iaitu ketika menolak memberi bahagian zakat kepada Uyainah bin Hisn dan Aqra bin Habis meskipun keduanya telah mendapat nota persetujuan dari Abu Bakar al-Siddiq. Menurut Umar, pemberian zakat kepada mereka pada masa nabi Muhammad saw dimaksudkan untuk menundukkan hati mereka. Namun pada masa sekarang Islam telah berkembang dan tidak lagi memerlukan para mualaf. Jika mereka ingin masuk dan memeluk Islam, kaum Muslim akan menerima mereka dengan baik. Tetapi jika tidak, mereka akan diperangi. Demikian menurut Umar. Pandangan Umar tersebut tidak dibantah para sahabat, bahkan Othman bin Affan dan Ali bin Abi Thalib ketika memerintah selepas mereka, tetap mengikuti pendapat Umar dengan tidak memberikan zakat kepada mualaf. Hal ini dipandang sebagai ijmak menurut sebahagian kalangan yang berpandangan bahawa bahagian mualaf telah dihapuskan ( mansukh ).

Adapun menurut sebahagian ulamak lain, seperti Ahmad bin Hanbal, Imam al-Zuhri dan Ibn Hazm, hukum bahagian mualaf dalam zakat tetap ada dan tidak hilang ( mansukh ) kerana (1) nas hanya ada pada masa turunnya al-Quran; (2 ) ilat adanya bahagian mualaf ada pada taklaf al-qulb, bukan pada kejayaan Islam (izz al-Islam ); (3) apa yang dilakukan Omar bersifat ijtihadiyyah. Kerananya, adalah sah seorang pemimpin membuat ijtihad lain daripada yang diyakini Umar. Itba yang dilakukan Othman dan Ali terhadap putusan Umar mungkin didasari pada perasaan kejayaan Islam yang ada pada masa selanjutnya bisa jadi tidak relevan lagi.

Mengharmonikan dua pandangan ini, Ibnu Arabi mengatakan bahawa jika memang Islam sudah dipandang kuat dan tidak memerlukan mualaf, maka bahagiannya dihilangkan. Namun jika keberadaannya dipandang perlu, maka mualaf dapat diberikan, kerana itulah, menurut Ibnu Arabi lapan golongaan ( asnaf samnyyah ) tidak dapat dikatakan mustahqq, tetapi kedudukan ( mahll ). Jika disebut mustahqq, maka kedudukan masing-masing tidak dapat diganti oleh yang lain.

2.5 Faktor-faktor Saudara Baru Memeluk Islam


Secara umumnya, terdapat beberapa faktor utama menjadi pendorong kepada pengislaman orang-orang Cina di Malaysia. Faktor-faktor tersebut dapat diklasifikasikan seperti berikut:

2.5.1 Hidayah Daripada Allah SWT

Allah SWT sahaja yang berhak untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Menurut Anuar bin Puteh ( 1999: 69), ini merupakan faktor utama mendorong saudara baru memilih agama Islam sebagai pegangan hidup mereka. Manakala mereka yang tidak mendapat hidayah Allah SWT maka mereka akan kekal dalam kekufuran. Bagi saudara baru yang menemui sinar Ilahi dengan cara demikian akan menimbulkan dalam hatinya kerelaan serta keikhlasan yang sepenuhnya untuk menuruti syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah saw tanpa dipengaruhi oleh pelbagai pengaruh dan kepentingan tertentu. Didapati bahawa saudara baru mendapat hidayah Allah SWT biasanya datang melalui beberapa keadaan. Antaranya, melalui mimpi, pembacaan buku-buku agama, akhlak Islamiyyah yang hakiki, pergaulan seharian dengan rakan-rakan yang beragama Islam. Sebahagiannya memilih untuk berada di bawah bumbung Allah SWT setelah membuat kajian-kajian dan perbandingan ke atas agama yang dianuti sebelumnya.

Kenyataan daripada pengalaman dan pemerhatian penulis jelas membuktikan bahawa faktor hidayah memainkan peranan yang penting dan amat besar kesannya sebagai penentu kepada kesungguhan serta kesediaan golongan ini untuk terus tekun berusaha mendalami, memahami, beramal, menghayati ilmu agama Islam serta beristiqamah mengamalkannya dalam segenap kehidupan. Kesyukuran yang tinggi di atas nikmat Islam dan iman yang Allah SWT kurniakan serta keinsafan yang tinggi setelah terselamat daripada kekufuran yang berkekalan juga mendorong saudara baru untuk menghayati kepentingan ilmu Allah SWT yang diibaratkan seluas lautan yang tidak bertepian. Natijah daripada itu akan melahirkan saudara baru yang cekal, tabah, dsn sabar dengan cabaran hidup selepas melafazkan dua kalimah syahadah dalam pembentukan akhlak Islamiyyah, berpaksikan syariat Allah SWT dan memelihara aqidah Islamiyyah agar tidak tergoyah walaupun diseksa seperti Bilal Bin Rabah dan lain-lainnya lagi.

2.5.2 Faktor Perkahwinan

Anuar Puteh ( 1999: 71 ) menjelaskan, perkahwinan juga memainkan peranan yang penting menyebabkan seseorang Non Muslim untuk menerima Islam walaupun ianya tidak dikategorikan sebagai faktor utama. Sebagai buktinya ramai di kalangan saudara baru memilih untuk berkahwinan sesama saudara baru. Dengan langkah yang demikian akan memudahkan antara satu sama lain, terutamanya soal persefahaman dalam pelbagai aspek selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir saudara baru yang memilih untuk berkahwin dengan orang Melayu ( Islam ) selepas mereka memeluk Islam ( Anuar Puteh 2002: 99 ). Ini membuktikan bahawa perkahwinan bukanlah wasilah utama penerimaan Islam di kalangan saudara baru, namun tidak dapat dinafikan ia adalah antara faktor pendorong kepada saudara khususnya berbangsa Cina untuk memeluk Islam.

2.5.3 Faktor Ikut-ikutan

Anuar Puteh ( 2002 : 140 ) menyatakan bahawa faktor ikut-ikutan merupakan antara faktor utama yang menyebabkan ramai di kalangan saudara baru memilih untuk memeluk Islam. Dalam kedudukan latar belakang komuniti yang sama daripada segi suku kaum, pekerjaan, status diri dan lain-lain. Tambahan pula sekiranya orang berpengaruh di kalangan mereka memeluk Islam, maka kebiasaannya akan dituruti oleh beberapa orang anggota masyarakat yang lain. Contohnya, dalam sesebuah perkampungan Orang Asli sekiranya Tok Batin ( Ketua Kampung ) memeluk Islam, maka kebiasaannya ahli keluarga dan segelintir ahli masyarakat kampung tersebut akan memeluk Islam juga.

Menurut Anuar Puteh ( 2002 : 140 ) lagi, natijah daripada memeluk Islam secara ikut-ikutan ini kebiasaannya tidak menunjukkan ciri-ciri keislaman ( walaupun sedikit ) dalam amalan kehidupan harian mereka. Pemerhatian penulis mendapati bahawa meraka masih mengamalkan secara total ajaran-ajaran Islam seperti memakan daging babi, berjudi, minum arak, menyambah roh-roh nenek moyang dan orang perseorangan yang dianggap keramat kepada mereka. Selain itu, mereka juga tidak menunjukkan minat untuk mendalami agama Islam. Ini adalah kesan daripada mereka memilih Islam bukan di atas kesedaran diri tetapi hanya ikut-ikutan sahaja. Namun, penulis berkeyakinan fenomena sedemikian hanya sementara ( di awal memeluk Islam ) sahaja sekiranya pelbagai pihak berperanan dalam soal ini.

2.5.4 Kepentingan Tertentu

Pengalaman penulis mendapati bahawa sebahagian saudara baru memeluk Islam di atas dasar kepentingan tertentu yang disediakan sekiranya mereka memeluk Islam. Namun yang demikian, hakikat tersebut tidak dapat dibuktikan dengan tepat kerana ia adalah isu-isu subjektif dan tidak mampu ditafsirkan secara terbuka.

Di antara beberapa kepentingan tertentu yang mendorong mereka memilih Islam menurut Anuar Puteh ( 2002: 141 ) ialah:

i) Mereka beranggapan bahawa segala hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera mengikut Perlembangaan Persekutuan adalah layak untuk dimiliki setelah memeluk Islam. Ini kerana mereka menterjemahkan memeluk Islam bererti masuk Melayu.

ii) Terdapat ahli perniagaan yang memeluk Islam untuk memudahkan urusan perniagaan mereka dengan orang Melayu.

iii) Untuk kepentingan jaminan masa depan anak cucu.

iv) Mengambil tindakan untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang setelah melakukan kes-kes jenayah atau kesalahan yang sabit dengan undang-undang negara.

Pada pandangan penulis, faktor kepentingan tertentu yang menarik perhatian saudara baru untuk memeluk Islam adalah tidak wajar diamalkan kerana sekiranya mereka berniat untuk tujuan mendapat kepentingan maka setakat itulah konsep pemahaman Islam dalam dirinya, malahan akan mengundang kebarangkalian mereka akan kembali ke agama asal sekiranya apa yang dihajati tidak kesampaian.

Manakala menurut Prof Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani ( 2005: 65 ), berdasarkan perakuan saudara kita, faktor-faktor konversi kepada agama Islam berlaku atas beberapa sebab, iaitu;

i) Islam memberi jaminan hidup yang lebih luas.

ii) Islam memberi penekanan yang lebih seimbang dalam aspek kejiwaan dan kebendaan.

iii) Islam mempunyai kewibawaan yang lebih.
iv) Islam menjamin keadilan sosial.

v) Doktrin ketuhanan Islam lebih mudah difahami.

vi) Islam menitikberatkan hubungan kekeluargaan, persaudaraan sesama manusia.

vii) Sifat-sifat ajaran Islam lebih rasional dan intelektual.

viii) Soal pembalasan hari akhirat boleh diterima akal.

Oleh yang demikian, didapati bahawa faktor-faktor pendorong seseorang memeluk Islam adalah pelbagai. Faktor hidayah daripada Allah SWT adalah mutlak dan selebihnya juga mendorong saudara baru untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup. Selain itu, akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Muslim juga menjadi antara faktor-faktor pengislaman di kalangan saudara baru. Namun yang demikian, niat yang tulus ikhlas kerana Allah SWT akan membawa saudara baru menikmati keindahan dan kemanisan berada di bawah payung Allah SWT.

2.6 Cabaran-cabaran Saudara Baru

Halangan, rintangan serta cabaran tetap akan berlaku lantaran sesuatu perubahan atau tindakan. Itulah hakikat dalam kehidupan manusia. Berat atau ringannya sesuatu cabaran untuk dihadapi adalah bergantung kepada kekuatan dalaman dan sokongan luar.

Menurut Dr. Faudzinaim Hj Badaruddin ( 2005: 114 ), secara umumnya cabaran-cabaran yang dihadapi oleh saudara baru boleh dilihat daripada dua sudut iaitu: cabaran dalaman dan cabaran luaran.




2.6.1 Cabaran Dalaman

Cabaran dalaman yang dihadapi oleh saudara baru ialah kesan spiritual dan tekanan psikologi sebelum memeluk Islam dan setelah memeluk Islam. Antaranya ialah tekanan spiritual untuk mencari dan memiliki kebenaran dan agama yang benar, keduanya tekanan psikolgi terkesan melalui bangkangan keluarga sebelum dan sesudah memeluk Islam, ketiganya tekanan psikologi untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru dan seterusnya keperluan untuk menjadikan diri sebagai role-model ( Dr. Faudzinaim Hj Badaruddin 2005: 114-116 ).

Pengalaman penulis juga membenarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Faudzinaim kerana ia hampir menepati cabaran-cabaran saudara baru di sudut dalaman. Kesan cabaran dalaman yang dialami oleh saudara baru adalah lebih parah daripada cabaran luaran.

2.6.2 Cabaran Luaran

Menurut Dr. Faudzinaim Hj Badaruddin ( 2005: 117-118 ),cabaran luaran lebih menjurus kepada perkara-perkara yang muncul daripada luar diri saudara baru itu sendiri dan sekaligus telah memberi kesan yang amat mendalam jika dibandingkan dengan kesan cabaran dalaman.

Cabaran-cabaran luaran dapat dilihat daripada persepsi penerimaan masyarakat Islam melalui perkahwinan terutamanya masyarakat Melayu. Mereka mempertikaikan tujuan saudara baru memeluk Islam dengan mengandaikan bahawa saudara baru memeluk Islam disebabkan faktor perkahwinan. Keadaan ini membuatkan saudara baru merasa sedih dan kecewa. Keduanya tentangan yang diberikan oleh ibu bapa dan ahli keluarga saudara baru, kaum keluarga dan anggota masyarakat yang hampir dengan mereka. Manakala yang selebihnya ialah cabaran dilihat daripada soal bantuan yang ditawarkan kepada saudara baru daripada segi kewangan, pekerjaan dan juga tempat tinggal. Di samping itu, saudara baru mengalami kesukaran untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi meringankan beban masalah yang mereka hadapi.
Melihat kepada cabaran-cabaran dalaman serta luaran yang dihadapi oleh saudara baru maka tidak mustahillah saudara baru juga berkemungkinan besar akan mengalami tekanan daripada segi psikologi seperti kemurungan, kerisauan dan kegelisahan yang tinggi, stress dan lebih dari itu ialah hilang akal seperti yang pernah penulis temui sebelum ini.

2.7 Keperluan Bimbingan Kepada Saudara Baru

Keperluan bimbingan kepada saudara baru boleh dilihat daripada segi memberi asas pengatahuan ajaran Islam. Selain itu, memberi motivasi dan semangat untuk mereka menjalani kehidupan harian sebagai Muslim dan membantu, memberi sokongan ketika saudara baru menghadapi cabaran-cabaran merupakan amal jariah yang mulia di sisi Allah SWT.

Dr. Fariza Md Sham dan Anuar bin Puteh ( 2006: 6 ) dalam kertas kerja yang bertajuk Pendekatan Psikologi Dakwah Dalam Bimbingan Saudara Baru: Pengalaman di Malaysia, menyimpulkan bahawa dalam keadaan pelbagai cabaran yang dihadapi saudara baru dan sekiranya keimanan tidak disemat dengan kukuh, ianya akan memberi kesan yang tidak baik sehingga membawa kepada pemesongan akidah dan kembali kepada cara hidup yang asal.

Lantaran daripada itu, kepentingan bimbingan terhadap saudara baru perlu diberikan perhatian yang serius. Menurut Anuar bin Puteh ( 2005: 31-32 ), dalam memfokuskan daripada sudut bimbingan, amar makruf dan nahi mungkar merupakan asas dalam memberi pendidikan terhadap masyarakat khususnya saudara baru. Ini kerana kedua-dua perkara tersebut menjadi syarat utama untuk umat Islam mencapai kesempurnaan dan keselamatan hidup. Secara umumnya, tanggungjawab untuk membimbing saudara baru adalah tertanggung kepada keseluruhan ummah. Semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memikul amanah ini dengan penuh keikhlasan. Pihak-pihak seperti kerajaan, badan bukan kerajaan ( NGO ), masyarakat dan individu memainkan peranan dalam memastikan tidak berlaku pengabaian bimbingan terhadap saudara baru.

Matlamat bimbingan dalam konteks saudara baru dapat dirumuskan bahawa ia dilakukan untuk:

i) Membawa Islam kepada orang bukan Islam.

ii) Membimbing orang yang baru berjinak-jinak dengan Islam agar lebih mendalam dan menghayati asas-asas Islam.

iii) Bimbingan Islam membezakan kehidupan mereka sebelum memeluk Islam.

iv) Islam meletakkan diri mereka dalam kelompok orang-orang Muslim yang komited dan mampu melaksanakan segala suruhan dan ajaran agama.

v) Dalam masa yang sama menjadi seorang yang amat takut akan larangan-larangan agama serta sentiasa berhati-hati daripada melanggar syariat-syariat yang telah ditetapkan.

Oleh itu, didapati bahawa peranan bimbingan terhadap saudara baru perlu diberi perhatian. Dengan bimbingan yang baik dan dapat dicontohi oleh saudara baru khususnya akan memberi satu impak positif bukan sahaja daripada segi akhlak, syariat malahan keutuhan pegangan aqidah dapat dikukuhkan dalam jiwa saudara baru.

2.8 Kesimpulan

Saudara baru adalah mereka yang dijinakkan hati untuk menerima Islam dan telah melafazkan dua kalimah syahadah. Pemberian zakat adalah bertujuan untuk memotivsikan dan memantapkan lagi keislamannya serta beramal dengan ajaran Islam. Faktor-faktor utama saudara baru memeluk Islam ialah kerana hidayah daripada Allah SWT, faktor perkahwinan, faktor ikut-ikutan dan juga kepentingan tertentu. Di samping itu, saudara baru juga menghadapi cabaran berbentuk dalaman dan luaran yang mana mereka memerlukan bimbingan yang sempurna dan berhikmah agar ajaran Islam bukan sahaja difahami dan diamalkan dalam kehidupan harian, malahan mereka mampu menghayati kesucian dan keindahan ajaran Islam itu. Bimbingan dapat membantu saudara baru mengutip mutiara-mutiara amal soleh yang akhirnya menjadi contoh teladan dan menghilangkan persepsi negatif terhadap saudara baru dalam mendamba keredhaan Allah SWT.

No comments: