Sunday, July 29, 2007

ORIENTALISME DAN KEBANGKITAN ISLAM





ORIENTALISME DAN KEBANGKITAN ISLAM

PENDAHULUAN


Orientalis namanya tidak asing lagi dalam dunia masa kini. Gerakan Orientalis begitu cergas di dalam kurun ke-14 Hijrah terutamanya selepas kejatuhan khalifah, dengan kegiatan yang dapat dilihat dengan jelas pada masa dulu hingga kini. (Fathi Yakan. 1986: 51).

Selepas zaman Renaissance atau kebangkitan Eropah telah lahir satu cabang keintelektualan Eropah iaitu Orientalisme. Eropah banyak mengkaji Timur yang dikaitkan dengan tamadun (Babylon, Firaun, Islam, Buddha, dan lain-lain). Pada keseluruhan kajian tentang Timur pada zaman Renaissance ini tertumpu kepada dua aspek penting iaitu sejarah dan sastere(Ahmad Redzuwan Mohd Yunus dan Badlidisham Mohd Nasir. 2003: 94-95). Dua perkara ini menjadi agenda utama para Orientalis mengkaji, memahami lantas menguasai Timur. Dengan kajian ke atas sastera, mereka dapat memahami budaya hidup serta fikiran sesuatu bangsa. Manakala kajian ke atas sejarah pula mengizinkan para Orientalis mengetahui peristiwa-peristiwa sejarah yang memberi kesan perubahan sosial dan pemerintahan.

Dilihat dari sudut lain pula, para Orientalis memainkan peranan penting dalam menyusun strategi sebagai penceroboh dalam memerangi umat Islam. Mereka pernah melancarkan peperangan terhadap Islam tetapi gagal dalam mencapai matlamat tersebut. Ekoran daripada itu, mereka telah berusaha mencari teori-teori yang menyelewengkan tabiat-tabiat umat Islam yang bercanggah dengan Islam itu sendiri. Melalui teori inilah mereka secara langsung berjaya memerangi aqidah umat Islam. Jelaslah di sini,mereka telah menukar strategi dari serangan berbentuk ketenteraan kepada serangan berbentuk pengaruh pemikiran dan sebagainya.

Maka jelaslah di sini bahawa Orientalisme telah memberi kesan yang besar di dunia Barat dan juga dunia Islam. Misalannya, di Barat, penulisan dan pencetusan buah fikiran serta kajian mengenai dunia Timur secara praktikalnya terikat dengan ikatan-ikatan tanpa sewenangnya bertindak. Ini kerana gerakan Orientalisme telah mewujudkan satu rangkaian yang menyeluruh yang mempunyai kepentingan dan mendatangkan kesan pada setiap keadaan. Oleh yang demikian, dunia Timur menjadi sasaran perbincangan mereka (Dr. Ahmad Abdul Hamid. 1991: V)

Edward W. Said dalam bukunya Orientalisme; Western Conceptions of the Orient (1995). Beliau melihat orientalisme sebenarnya tertumpu pada Timur Tengah dan bukan Timur keseluruhannya. Ini kerana Islam merupakan ancaman Barat dan juga sumber ekonomi utama dunia iaitu minyak yang terdapat di dunia Islam (Ahmad Redzuwan Mohd Yunus dan Badlidisham Mohd Nasir. 2003: 93).

Dr. Ahmad Abdul Hamid. 1991: VI, menyatakan juga sehingga kini,orang Barat masih bekerja keras mengumpul dan mengambil maklumat yang ada hubung kait dengan Islam dari Orientalis Eropah dan hasil tulisan ahli sastera dan falsafah Barat yang berasaskan bahan tulisan Orientalis.

Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989: XII melalui Orientalisme, para Orientalis dapat mengedit, menapis, mencetak dan menerbitkan banyak sumber-sumber warisan Islam yang penting walaupun pada setengah kajiannya bersikap berkecuali tetapi akhirnya dijadikannya suautu penyelewengan ilmu pengetahuan. Dengan penyataan ini, terbuktilah bahawa orang-orang Eropah telah berjaya menguasai sumber-sumber warisan Islam.

Dengan objektif-objektif keagamaan, penjajahan, menjadi perkhidmatan Yahudi, perdagangan dan kajian ilmiah telah mendorong para Orientalis memperluaskan usaha mereka untuk melihat kesucian agama Islam terkubur di atas muka bumi ini.





BAB 1 - DEFINISI ORIENTALISME


Al-Istisyraq (Orientalisme) ialah ilmu Timur atau ilmu yang berhubung dengan dunia Timur. Perkataan mustasyriq dengan makna yang umum digunakan kepada setiap orang Barat yang pakar dalam mengkaji ilmu Timur sama ada kepakarannya itu sudah sampai kemuncak atau pertengahan, ataupun yang rendah sekali dalam bidang bahasa, sastera, tamadun dan agama.

Makna khusus al-Istisyraq (Orientalisme) iaitu kajian Barat yang berhubung dengan Islam sama ada dalam bidang bahasa, sastera, sejarah, aqidah, syariah, tamadun secara umum (Dr Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989: 2).

Dr. Ahmad Abdul Hamid Ghurab C (1991: 20-21) turut mendefinisikan bahawa Orientalisme adalah kajian yang akademis, yang dilakukan oleh bangsa Barat yang kafir, khususnya dari kalangan ahlul kitab tentang Islam dan umat Islam dengan umat Islam dengan segala aspek, baik mengenai aqidah, syariat, pengetahuan, kebudayaan, sejarah, aturan dan peraturan, hasil bumi dan potensinya. Dengan bertujuan untuk merosakkan dan mengotori kesucian Islam, mmeniupkan keraguan kepada kaum muslimin akan kebenaran dan kepercayaan mereka terhadap ajarannya, menyesatkan mereka (muslim) dari jalan yang diharuskan dalam syariat. Kemudian dengan berbagai cara yang diusahakkan agar mereka terpengaruh untuk mengikuti ajaran dan pemikiran Barat. Dengan menyatakan bahawa semua kajian itu adalah ilmiah dan objektif. Ini kerana mereka merasakan adanya keunggulan dan kelebihan ilmu pengetahuan yang dimiliki bangsa Barat atas bangsa Timur yang Islam.

Perkataan Orientalisme adalah asal dari perkataan “Orient” yang bererti Timur yang diambil daripada Bahasa Perancis kemudian dipergunakan dalam berbagai bahasa di Eropah termasuk Inggeris. Orientalis adalah kata sifat yang bermakna sesuatu yang bersifat ketimuran. Tambahan kata isme (Belanda) atau ism (Inggeris) menunjukkan satu fahaman (aliran pemikiran) ajaran atau amalan. Perkataan berlawanan bagi Orient ialah Occident yang bererti Barat.

Mengikut The Living Webster Encylopedia Dictionary Of The English Language – Orientalisme ditakrifkan sebagai hal-hal yang bersifat ketimuran; iaitu keanehan(orang melabelkan orang Timur separuh manusia dan separuhnya tidak) dunia timur tentang ilmu pengetahuan. Terutama dalam soal bahasa, kesusasteraan, atau kebudayaan.

Orientalis adalah orang Barat yang mengkaji (Jepun, Korea, Afrika, Islam) bahasa, kesenian dan lain-lain yang berhubung dengan negara Timur.

Berdasarkan beberapa definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa para orientalis telah membuat kajian pada beberapa bidang dalam ruang lingkup yang amat luas. Antaranya ialah; bidang kepurbaan (archeology), bidang sejarah (history), agama (religion), bahasa (langustic), keturunan (ethnology), adat istiadat (customs), kekuasaan (politic), ekonomi (economy), dan sebagainya.















BAB 2 - SEJARAH RINGKAS KEMUNCULAN DAN PERKEMBANGAN
ORIENTALISME


Adalah sukar untuk para ahli sejarah dan pengkaji menentukan tarikh yang tepat bila bermulanya gerakan Orientalisme. Sesetengah pengkaji menyatakan permulaan lahirnya Orientalisme secara rasminya ialah bersamaan revolusi perhimpunan gereja di Vienna pada tahun 1312 Masihi yang bertujuan pada mulanya mengkaji tentang Arab, Greek, Yahudi, Syria berpusat di Paris, Oxford, Bologna, Avignon dan Salaman ca (Said. 1995: 49-50). Dan ini merupakan faktor utama kajian tentang Timur bermula (Ahmad Redzuwan Mohd Yunus dan Badlidisham Mohd Nasir. 2003: 95).

Walaubagaimanapun, pengkaji-pengkaji Eropah tidak berpuas hati dengan kenyataan tarikh kemunculan gerakan Orientalisme. Mereka masih meneruskan kajian untuk mendapatkan tarikh-tarikh yang benar.

Penyebaran Islam yang meluas serta pantas di Timur dan di Barat telah membuka mata ketua-ketua agama Kristian terhadap Islam. Maka, bermulalah pegajian agama Islam secara mendalam di kalangan orang Kristian dengan tujuan untuk menjaga saudara Kristiannya daripada memeluk agama Islam. Antara buku-buku karangan mereka ialah Muhawarat Ma’a Muslim dan Irshadat al-Nasara fi Jadal al-Muslimin yang dikarang oleh Yuhana al-Damashqi (676-749M).

Ada juga sebahagian pengkaji menyatakan Orientalisme mula sejak dua kurun sebelum itu, iaitu pada kurun ke sepuluh Masihi. Buku penulisan Najib al-Aqiqi yang berkaitan dengan Orientalisma (tiga juzuk) mencatatkan bahawa orientalisme telah wujud sejak seribu tahun yang lalu.

Faktor lain yang menyebabkan kemunculan orientalisme Barat adalah melalui pertentangan yang berlaku di antara Ilam dan Kristian di Sepanyol dan Sevilla sebagaimana Perang Salib telah mendorong orang Eropah untuk berusaha mempelajari ajaran Islam dan adat resamnya. Oleh yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa tarikh awal gerakan orientalis ialah tarikh pertentangan antara agama Kristian di Barat dengan agama Islam di Timur daripada aspek agama dan ideology sejak kurun pertengahan (Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989: 2-4).



























BAB 3 - CIRI-CIRI ORIENTALISME


Dalam kajian orientalisme mempunyai beberapa ciri-ciri khusus yang merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari pemahaman orientalisme itu sendiri. Di antaranya ialah;

(1) Orientalisme adalah satu kajian yang mempunyai ikatan yang sangat erat hubungannya dengan kolonial Barat khususnya kaum kolonial Britian dan Perancis sejak akhir abad delapan belas hingga selesai perang dunia kedua, kemudian diteruskan oleh Amerika sebagai symbol (kolonial Barat) hingga dewasa ini.

(2) Orientalisme merupakan gerakan yang mempunyai ikatan yang sangat kuat
dengan akan Kristianisasi. Hal ini terbukti dengan meramaikan kaum Nasrani
dan menempatkan diri mereka di sekolah kepasturan untuk mengkaji kitab-
kitab perjanjian lama dan perjanjian baru.

(3) Orientalisme merupakan kajian gabungan yang kuat antara kolonialisme
dengan gerakan kristianisasi yang mengkaji ilmiah dan objektifnya tidak
dapat ditanggungjawabkan secara mutlak, khususnya dalam mengutarakan
kajian tentang Islam.

(4) Orientalisme merupakan satu bentuk kajian yang dianggap paling berpotensi
dalam politik Barat untuk melawan Islam dan kaum Muslimin (Dr. Ahmad
Abdul Hamid Ghurab C. 1991: 21-23).





BAB 4 - ORIENTALISME DAN KEBANGKITAN ISLAM


Definisi: Kebangkitan

Merujuk Kamus Dewan (Edisi Ketiga). (2002:101). Kebangkitan dapat ditaklifkan kebangunan, kesedaran serta kegiatan yang membawa kemajuan.

Ini bermakna kebangkitan adalah satu proses pembangunan, kesedaran tentang perkara yang perlu direformasikan yang mana melibatkan kegiatan-kegiatan yang membawa kemajuan kepada masyarakat sesuatu tamadun.

Orientalisme dan kebangkitan Islam adalah berkait rapat dengan munculnya Jemaah Ikhawanul Muslimin di Mesir yang di asaskan oleh al-Imam Assyhid Hasan al-Banna pada tahun 1347 H / 1928 M. Pertubuhan ini telah memberi kesedaran kepada umat Islam terhadap metod-metod dakwahnya dengan cara menyedarkan pengamalan ajaran agama Islam, dan diserapkan dikalangan masyarakat dalam segala aspek kehidupan.

Organisasi ini berkembang dengan baik, bahkan tersiar sampai ke seluruh negeri Islam, dan mendapat perhatian yang positif terutamanya di kalangan pemuda dan pemudi.
Dengan fahaman dan semangat perjuangan yang ditiup oleh al-Syhid Hasan al-Banna , maka dengan itu muncullah pergerakan kebangkitan umat Islamiyah. Maka para musuh-musuh Islam meningkatkan pengawasan terhadap usaha-usaha dan bercita-cita untuk mematahkan semangat yang dibawa oeh Ikhawanul Muslimin.






BAB 5 – PERMUSUHAN ORIENTALIS TERHADAP KEBANGKITAN ISLAM


Permusuhan yang timbul kerana Orientalis bertujuan untuk belajar dan mendalami Islam dengan maksud untuk memadamkan cahaya Allah swt. Buktinya adalah melalui dalil ayat al-Quran surah al-Taubah, ayat 32;

يريدون أن يطفئوا نور الله بأفوههم و يأبى الله الا أن يتم نوره و لو كره المثركون32

Maksudnya: “Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah swt dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah swt tidak mengkehendaki selain menyempurnakan cahayaNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”.

Permusuhan paling besar yang dihadapi oleh kebangkitan Ikhawanul Muslimin adalah permusuhan terhadap aqidah yang diketuai oleh sekumpulan Yahudi Zionis. Yang mana mereka menggunakan senjata pengkajian ke atas ilmu-ilmu dan seterusnya dengan ilmu-ilmu tersebut mereka meruntuhkan kekhalifan Islam.

Permusuhan kedua adalah akibat daripada perasaan takut di kalangan Bangsa Eropah (Barat) kepada kebangkitan Islam yang dianggap akan menghalangi tujuan mereka, menghentikan perlawanan mereka dengan berusaha untuk mengembalikan kemuliaan dan kejayaan Islam, serta mejaga hak asasi kaum muslimin yang telah dirampas oleh ahli kitab yang diketuai oleh Zionis Yahudi (Dr. Ahmad Abdul Hamid Ghurab C. 1991: 213).

Jelaslah bahawa sejak berkembangnya gerakan kebangkitan di atas dunia ini, maka kemunculan dan para Orientalis giat merancang dan seterusnya mengaplikasikan perancangan mereka ke atas kebangkitan Islam. Usaha mereka ini dilihat sebagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Mereka telah mewujudkan kongres-kongres, penerbitan, dan sebagainya oleh pengkaji ilmiah di seluruh wilayah Barat sebagai tulang belakang kepada perjuangan mereka.
BAB 6 – PERKEMBANGAN KAJIAN ORIENTLISME DAN HUBUNGAN
DENGAN SPIONASE

Dr. Ahmad Abdul Hamid Ghurab.C dalam buku karangannya ‘Menyingkap Tabir Orientalisme’, 1991: 215-216 menyatakan dalam perkembangan ini, dijelaskan sejauh mana perkembangan dan perluasan kajian orientalisme khususnya berkaitan Islam, wilayah Islam dan kebangkitan Islam. Juga dibincangkan sejauh mana perkaitan pengkajian tersebut dengan lembaga spionase Barat, Amerika dan Israel. Jadi, disini disertakan beberapa contoh.

Pengkajian orientalisme berkembang dengan pesat pada akhir dekad ini. Tumpuan utama pengkaji Orientalis ialah mengkaji tentang Timur Tengah kerana ianya merupakan sasaran utama dan paling strategik khusus dalam usaha untuk mengumpulkan data sekaligus dijadikan sebagai kajian untuk mencari penyelesaian .

Perkembangan Orientalisme sangat pesat . Khususnya di Amerika selepas perang dunia kedua. Dengan itu lahirlah pengkaji yang makin banyak, khususnya di universiti-universiti di Kanada dan Amerika. Pada tahun 1969 jumlah muridnya tercatat hanya 363 mahasiswa, kemudian pada tahun 1986 meningkatan kepada 670 orang. Kemudian jumlah anggota ikatan pengkaji Timur Tengah di Amerika berjumlah 823 orang pada tahun 1977 dan angka ini meningkat kepada 1582 orang pada tahun 1986. Yang mana mereka adalah terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang seperti sejarah, politik, ekonomi, biologi dan sosiologi, disamping kajian tentang agama (Islam). Kemudian pada tahun 1987, lembaga itu telah mampu mengumpulkan beberapa masalah untuk dikaji. Ianya terdiri daripada (70,000) permasalahan (lihat buku Fundamentalisme in Arab World karangan Richard. D).

Contoh yang lain seperti majalah Time Amerika, pada edisi tanggal 13 Januari 1986, telah mengungkapkan adanya dokumen rahsia, yang menyatakan bahawa orientalis Yahudi yang sangat iaitu Nadaf Syafra, director lembaga pengkajian Timur Tengah pada

Universiti Harvard Amerika, telah menerima wang sebanyak 45 ribu dolar Amerika dari pihak CIA untuk mengadakan kongres tentang Fundamentalis Muslimin shohwah Islamiyah. Dan seperti biasanya, mereka menyatakan bahawasanya kongres internasional itu bekerja dalam rangka pengkajian ilmiah yang murni.

CIA merupakan penanggungjawab utama dalam menangani masalah perkembangan kebangkitan Islam di Mesir. Sebab Mesir dianggap sebagai pusat kebudayaan dan ilmu pengetahuan Islam, kerana dengan adanya al-Azhar, dan awal mula munculnya gerakan Ikhawanul Muslimin juga dari sana. Malah salah satu dari anggota badan intelektual CIA dengan terus terang mengakui bahawa badan intip rahsia Amerika sangat memerhatikan semua kegiatan organisasi Islam yang berhaluan keras (fundamentalis) dan juga semua kegiatan Ikhawanul Muslimin di Mesir.



5.3 – Kajian Orientalis Terhadap Kebangkitan Islam


Beberapa kajian telah dilakukan kaum Orientlis terhadap perkembangan kebangkitan Islam. Antaranya ialah ;

(1) Lembaga Akademik Israel untuk penelitian, di Cairo – Mesir.
Lembaga ini didirikan di Cairo pada Mei 1982. Merupakan salah satu hasil persepakatan dari perjanjian Camp David, yang ditandatangani oleh Anwar Sadat dengan pemerintahan Israel pada tahun 1979. Ia juga merupakan satu badan intelektual yang bermukim di tengah kota Cairo unruk mengetahui lebih lanjut dan lebih detail mengenai kehidupan rakyat Mesir dari semua segi aspek. Khususnya gerakan Ikawanul Muslimin. Disamping itu, lembaga ini juga menjalankan aktiviti menyebarluaskan kebudayaan Israel, aliran dan cara kehidupan yang bertentangan dengan ajaran Islam, serta mempengaruhi masyarakat Muslim.

(2) Penerbitan buku Fundamentalis in Arab World, karangan tokoh Orientalis
Amerika , bernama Richard D.
Buku tersebut merupakan buku rujukan utama bagi kaum orientalis dalam mempelajari dan mendalami tentang kebangkitan Islam. Diterbitkan di Amerika pada tahun 1984. Antara kelebihan buku tersebut ialah: Pertamanya, ada hubungkaitnya penulis dengan pemerintah dan lembaga-lembaga formal serta badan intelektual. Keduanya, menjadi pengacau dengan sengaja terhadap Islam dan kesatuan Islam dan sebagaimananya. Dan lainnya seperti, penggunaan istilah non Islami untuk Islam dan muslimin. Penjelasan lanjut sila rujuk buku ‘Menyingkap Tabir Orientalisme’ karangan Dr, Ahamd Abdu Hamid Grurab.C.



5.4 – Siasatan Orientalis Untuk Memadamkan Kebangkitan Islam


Kaum Orientalis tidak jemu-jemu berusaha keras untuk membuat taktik dan siasatan untuk mematahkan kebangkitan Islam. Tidak diragukan lagi bahawa pengkajian orientalisme tentang ilmu-ilmu Islam dan pergerakan Islam merupakan salah satu bentuk taktik dan siasatan yang berbentuk bahaya. Ini kerana taktik ini mencerminkan satu usaha yang terencana dalam menghalang kebangkitan itu. Barangkali gambaran yang paling tepat dan pasti benar adalah apa yang difirmankan Allah swt dalam surah al-Anfal ayat 30:

... و يمكرون و يمكر الله و الله خير المتكرين 30

Maksudnya: “Mereka memikirkan tipudaya dan Allah menggagalkan tipudaya itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipudaya”.

Misalnya, dalam intisari kajian politik kekuasaan Anwar Sadat, beliau telah menasihatkan kepada pemerintah Arab seperti berikut;
1. 0Islam.
2. Jangan menggunakan senjata agama untuk menegakkan Islam.
3. Membuat kebijaksanaan politik luar negeri dan dalam negeri yang disamakan dengan moral keagamaan dan kebudayaan yang berlaku.
4. Berusaha menggantikan organisasi Islam yang mampu memenuhi kehidupan, dan menggantikan kedudukan kaum fundamentalisme ekstrimis.
5. Melaksanakan susunan organisasi baru yang tidak terlalu dominan dan tidak ekstrim (Dr. Ahmad Abdul Hamid C. 1991:239-242).

Maka, jelaslah di sini bahawa dunia Barat dan negara non Muslim merasa khuatir dan takut kepada kebangkitan Islam yang konsisten terhadap ajaran Islam. Mereka sanggup menerima pengganti apa pun jenisnya dari Islam, yang penting dapat mereka kendali.
















Kesimpulan


Oleh yang demikian sebagai peringatan kepada kaum Muslimin, perlulah berhati-hati dengan strategi-strategi dan siasatan-siasatan kaum orientalis untuk menghancurkan dan melihat Islam serta segala gerakan kebangkitan Islam terhapus dari muka bumi Allah swt. Tidak perlu timbul persoalan atau memberi komenter, kerana segala strategi dan siasatan merka telah menjadi bukti yang paling jelas dan merekalah musuh penyiasat yang paling jahat. Firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 118:

... قد بدت البغضاء من أفواههم و ما نخفى صدورهم أكبر قد بينا لكم الأيات إن كنتم تعقلون 118

Maksudnya: “ …telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa-apa yang disembunyikan dalam hati mereka adalah lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami terangkan ayat-ayat Kami jika kamu memahaminya”.

Akhirnya, segalanya bergantung kepada kaum Muslimin itu sendiri untuk selalu berwaspada dan mempunyai kesedaran yang mendalam tentang bahaya kaum Orientalis dan segala anasir yang mengintai-intai untuk meruntuhkan pegangan aqidah, syariat dan akhlak seluruh kaum Muslimin dan mahu menciptakan satu labelan yang buruk ke atasnya. Kaum Muslimin perlulah bangun dengan penuh keimanan dan ketaqwaan disertai dengan kekuatan ilmu pengetahuan yang mendalam dan semangat yang jitu dari seluruh individu, kumpulan mahupun gerakan-gerakan Islamiyah seluruh dunia, maka kedaulatan Islam akan kembali gemilang dengan tertegaknya kalimah لا إله إلا الله di atas muka bumi Allah swt.






RUJUKAN

1. Al-Quran dan Terjemahannya

2. Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989. Orientalisme Kesan Pemikirannya Terhadap Tamadun Islam. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

3. Edward Said. 1981. Orientalis, Terjemahan Abu Bab. Beirut. Mu’assasah-Ablath al-Arabiyyah.

4. Hajah Noresah bt Baharom. 2002. Kamus Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

5. Dr. Ahmad Abdul hamid Ghurab C. 1991. Menyingkap Tabir Orientalisme. Jakarta. Pustaka al-Kautsar.

6. Ahmad Redzuwan Mohd Yunus & Badlidisham Mohd Nasir. 2003. Isu-isu Kemasyarakatan Islam. Selangor. Fakulti Pengajian Islam, UKM.

7. Fathi Yakan. 1986. Dunia Islam Dan Tipu Daya Antarabangsa Sepanjang Kurun Empat Belas Hijrah. Selangor. Dewan Pustaka Fajar.

No comments: